Sekiranya kita seorang peserta takaful, kita boleh menghibahkan manfaat takaful itu kepada sesiapa yang kita kehendaki. Atas sifat ia sebagai ‘hibah’ maknanya manfaat itu akan terkeluar daripada harta pusaka dan tidak akan diagih kepada waris-waris mengikut hukum faraid.
Maka berduyun-duyunlah para suami meletakkan isteri sebagai penerima hibah atau ‘benefisiari’ bagi manfaat takaful mereka.
Pastinya niat suami ialah supaya manfaat takaful itu dapat digunakan oleh isteri untuk menyara kehidupannya dan anak-anak.
Ramai juga isteri yang menggunakan kaedah ini tetapi mereka biasanya meletakkan anak-anak sebagai ‘benefisiari’ (sebab takut suami kahwin lain selepas dapat manfaat takaful mereka!)
Perkara ini termaktub di dalam Jadual 10 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam (APKI) 2013. Sebelum pengenalan akta ini, hanya ‘penama’ sahaja yang boleh diletakkan bagi menerima manfaat takaful. Penama itu pula wajib untuk mengagihkan semula semua manfaat itu kepada semua waris mengikut hukum faraid.
Syarikat takaful
Walaupun begitu, sehari dua ini kecoh di medsos kisah manfaat takaful yang telah dihibahkan oleh seorang suami kepada isterinya dan telah dibayar oleh syarikat takaful kepada isteri itu telah diarahkan oleh Mahkamah Tinggi Sivil untuk dipulangkan kepada ‘pentadbir’ yang dilantik dan seterusnya diagihkan kepada waris-waris yang berhak mengikut hukum faraid.
Maka ramailah netizen mengulas bahawa hibah takaful itu TIDAK SAH dan TERBATAL kerana isteri itu terpaksa mengagihkan juga manfaat takaful itu kepada waris-waris mengikut hukum faraid walaupun telah dihibahkan. Jika dakwaan ini benar, bermakna ada jutaan polisi yang telah dihibahkan di luar sana juga berisiko untuk terbatal.
Beberapa orang rakan saya yang merupakan peneraju syarikat takaful pernah memberitahu saya bahawa semenjak APKI diperkenalkan, jumlah peserta takaful mereka telah melonjak dengan signifikan kerana kesan hibah takaful ini.
Apa akan jadi kepada industri takaful jika hibah takaful ini sudah tidak berfungsi seperti yang sepatutnya ?
Isu kewangan Islam, takaful dan pengamanahan memang ‘grey area’ bidang kuasa di antara mahkamah sivil dan mahkamah syariah. Ia telah berpanjangan semenjak sekian lama.
Kerana itulah kedua-dua mahkamah memang sangat sensitif dalam memastikan sama ada ia berbidang kuasa bagi memutuskan perkara-perkara yang dibawa ke hadapan mereka. Namun dalam keadaan tertentu, ia terserah kepada tafsiran hakim yang bijaksana untuk membuat keputusan.
Pemisahan bidang kuasa mahkamah sivil dan mahkamah syariah ini jelas di pindaan Perlembagaan perkara 121 yang dimasukkan perkara (1A) pada 10hb Jun 1988. Pindaan ini telah memisahkan kuasa Mahkamah Sivil daripada mencampuri urusan Mahkamah Syariah.
Walaupun begitu masih terdapat kes-kes di mana bidang kuasa mahkamah sivil dan mahkamah syariah ini bertindan.
Teoh Eng Huat vs Kadhi, 1990
Contohnya di dalam kes Teoh Eng Huat lawan Kadhi, Pasri Mas & Anor (1990) di mana Mahkamah Agong (ketika itu) memutuskan bahawa agama bagi mereka yang berada di bawah umur 18 tahun akan ditentukan oleh ibu bapa atau penjaga walaupun Mahkamah Syariah telah mengesahkan keislaman anak itu.
Di dalam masa yang sama ada juga kes-kes di mana keputusan Mahkamah Tinggi Sivil yang mengiktiraf bidang kuasa Mahkamah Syariah seperti kes Lina Joy lwn Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan & Anor (2004) , di mana Mahkamah Tinggi telah memutuskan bahawa ia tidak berbidang kuasa untuk memutuskan permohonan Lina Joy bagi membuang perkataan “Islam” di dalam kad pengenalannya.
Mahkamah memutuskan bahawa perkara murtad ialah bidang kuasa eksklusif Mahkamah Syariah seperti ditetapkan perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan. Keputusan itu dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan pada 2005 dan Mahkamah Persekutuan pada 2007.
Jadi bagi kes untuk hibah takaful ini mahkamah manakah yang berbidang kuasa? Pada pandangan peribadi saya (saya mungkin silap!) , urusan ini ialah bidang kuasa Mahkamah Tinggi Sivil kerana APKI 2013 itu ialah undang-undang Persekutuan dan bukannya Mahkamah Syariah.
Namun proses pengesahan hibah takaful di Mahkamah Tinggi Sivil ini perlulah dilalui secara ekstensif berdasarkan peruntukan APKI dan berdasarkan hujah yang tepat.
Walaupun begitu dikatakan bahawa si isteri telah membawa kes ini ke Mahkamah Syariah dan diputuskan bahawa hibah takaful ini sah dan isteri itu sebagai penerima hibah ialah pemilik mutlak manfaat tersebut.
Keputusan Mahkamah Syariah (pada 2015 Mahkamah Tinggi Syariah Pahang juga pernah mengesahkan hibah takaful) itu tepat walaupun mungkin ada kekaburan dari segi bidang kuasanya kerana ‘subjek matter’ itu ialah hibah takaful dan berada di bawah APKI.
Berdasarkan penyelidikan ilmiah yang dilakukan oleh Wasiyyah sebelum ini, Mahkamah Syariah di Malaysia memang agak terdedah dengan isu pengesahan hibah bersyarat kerana banyak kes sebegini dibawa ke mahkamah.
Hibah Bersyarat
Malah ada banyak kes hibah bersyarat yang telah diluluskan oleh Mahkamah Syariah. Ini berbeza dengan Mahkamah Tinggi Sivil yang tidak terdedah dengan isu ini dan hakim mungkin menganggap bahawa hanya hibah mutlak sahaja yang sah di dalam Islam.
Lebih ironi lagi, Mahkamah Tinggi Sivil memang tidak berbidang kuasa untuk memutuskan sama ada sesuatu hibah mutlak atau hibah bersyarat yang sah. Apa pun seperti yang saya sebutkan di atas, ia terserah kepada budibicara hakim yang bijaksana untuk membuat keputusan.
Namun bagi kes yang sedang viral ini ia saya rasa agak unik dan ada ‘twist plot’nya kerana ia melibatkan juga prosedur ‘letter of administration’ yang dikemukakan waris-waris simati yang lain.
Atas sebab yang tidak diketahui (mungkin juga saman tidak sampai kepadanya), si isteri tidak hadir ke perbicaraan ‘letter of administration’ ini.
Maka ‘judgement in default’ telah dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Sivil dengan melantik waris-waris lain itu sebagai pentadbir untuk kesemua harta yang dianggap sebagai harta pusaka oleh Mahkamah Tinggi Sivil.
Oleh kerana Mahkamah Tinggi Sivil menganggap hibah ini tidak sah kerana ia ‘conditional hibah’, maka harta pusaka simati ini termasuklah juga polisi takaful yang bernilai RM1 juta itu di mana diputuskan bahawa ia juga merupakan harta pusaka dan perlu dipulangkan oleh si isteri kepada pentadbir yang dilantik oleh Mahkamah Tinggi Sivil di dalam ‘letter of administration’ supaya boleh diagihkan semula mengikut hukum faraid.
Pada pandangan saya, syarikat takaful berkenaan telah menjalankan tanggungjawabnya seperti peruntukan di dalam APKI. Ia tidak melakukan apa-apa kesilapan prosedur.
Sebaliknya jika syarikat takaful itu membayar kepada pentadbir harta pusaka terus di dalam keadaan wujud penerima hibah (benefisiari) , itulah yang akan melanggar peruntukan APKI.
Surat Pentadbiran
Jadi di saat si isteri menyangkakan manfaat takaful itu sudah pun menjadi miliknya, waris-waris lain pula masuk melalui pintu pengurusan harta pusaka iaitu proses ‘letter of administration’ yang mana si isteri ini tiada pengetahuan tentangnya.
Walaupun begitu, si isteri ini sebenarnya masih mempunyai ruang merayu di Mahkamah Rayuan.
Jika para pembaca membaca artikel saya yang ke 215 minggu lepas, saya mengulas panjang lebar tentang bidang kuasa mahkamah syariah dan mahkamah sivil.
Saya juga mengulas betapa ia satu cabaran besar untuk waris-waris memahami sepenuhnya selok-belok proses ini. Saya yakin ramai waris akan terkial-kial untuk memahami isu proses perundangan ini.
Kerana itulah Wasiyyah membimbing waris pelanggan kami melalui semua proses perundangan yang bersifat komprehensif ini baik di Mahkamah Syariah mahupun di Mahkamah Sivil secara PERCUMA bagi kes pusaka pelanggan kami.
Kami faham bahawa setiap kes adalah unik dan kerana itu pergerakan taktikal di dalam melalui proses perundangan juga perlu bersifat ‘tailor-made’ bagi setiap kes.
Untuk proses pengesahan hibah di Mahkamah Syariah, sijil faraid dan lain-lain perkara yang terkait bidang kuasa Mahkamah Syariah serta proses keseluruhan harta pusaka seperti mendapatkan Surat Kuasa Mentadbir dan Perintah Pembahagian (Pejabat Pusaka Kecil) ataupun Grant of probate dan Letter of Administration dan Distribution Order (Mahkamah Tinggi Sivil ).
Semuanya dapat diselaras dan disusun taktikalnya dengan baik secara profesional supaya tidak timbul isu ketidakselarasan pelaksanaan proses seperti kes hibah takaful ini.
Saya percaya jauh di lubuk hati anda, anda pasti tidak mahu waris-waris anda ditinggalkan dengan cabaran berat seperti ini. Dengan rekod perkhidmatan 21 tahun, saya yakin Wasiyyah dapat membantu. - DagangNews.com









