Lindunglah nama baik Kewangan Islam: Waspada Skim Penipuan bertopeng Syariah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Lindunglah nama baik Kewangan Islam: Waspada Skim Penipuan bertopeng Syariah

Oleh Dr Razli Ramli

Dalam satu perbincangan minggu lepas bersama dengan rakan-rakan di Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia, isu kes penipuan pelaburan yang menyalahgunakan nama institusi Islam atau tokoh kewangan berprofil tinggi disentuh dalam bualan.

 

Misalnya, pada tahun 2025 sahaja, ​Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC)​​ mengemas kini senarai amaran pelabur dengan beberapa entiti haram seperti "Saham PDI Syariah" dan "Trading Untung Malaysia" yang menjanjikan pulangan tidak realistik (e.g., RM45,000 dalam 3 jam).

 

Skim sebegini sering menggunakan sijil patuh Syariah palsu dan dokumen rasmi yang disalah tafsir untuk memanipulasi keyakinan orang awam.

 

 

Xi

 


Pada Mei 2025, ​232 pelabur​ melaporkan kerugian kira-kira ​RM80 juta​ melalui skim Islamic Redeemable Preference Shares (IRPS). Skim ini dipromosikan oleh ejen pemasaran (termasuk tokoh terkenal berpangkat ​Datuk Seri) dengan jaminan dividen tinggi sehingga ​18% setiap tiga bulan​ yang telah memangsakan seorang pekerja minyak dan gas serta pesara yang telah kehilangan seluruh wang persaraan (RM250,000).

 

Menurut kajian yang disemak oleh penulis, sepanjang suku pertama 2025, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah ​menambah 59 entiti​ baharu ke dalam Senarai Amaran Pelabur (Investor Alert List) berikutan aktiviti mencurigakan seperti tawaran pulangan tinggi yang tidak masuk akal yanf waras.

 

Pada tahun 2024 pula, ​273 nama​ telah disenaraikan, mencerminkan peningkatan aktiviti penipuan bersistem. Langkah ini diambil bagi membendung entiti yang menjalankan aktiviti pasaran modal tanpa lesen, termasuk pengurusan dana, nasihat kewangan, dan pelaburan tidak wujud.

 

Bagi menyekat penyebaran maklumat palsu, SC dan PDRM telah ​menyekat 153 laman web dan 261 media sosial​ (terutamanya Telegram dan Facebook) yang digunakan untuk mempromosikan skim haram. Media ini kerap memaparkan iklan menjanjikan pulangan "berganda dalam masa singkat", memanipulasi kepercayaan mangsa melalui taktik psikologi.

 

 

Xi

 

 

Menurut Bukit Aman, ​4,368 kes penipuan pelaburan​ dilaporkan pada separuh pertama 2025, peningkatan ​60.8%​​ berbanding tempoh sama 2024 (2,715 kes). Jumlah kerugian mencecah ​RM750 juta, dengan purata kerugian RM171,000 sekeping.

 

Pertambahan kes ini dikaitkan dengan penggunaan teknologi canggih seperti deepfake dan kecerdasan buatan (AI) untuk mencipta identiti digital palsu serta laman web tiruan yang sukar dibezakan.#

 

Oleh yang demikian, SC sentiasa komited dalam melindungi pelabur daripada penipuan kewangan dan skim pelaburan tidak sah. Sebagai sebahagian daripada usaha mendidik masyarakat, SC memperkenalkan pendekatan "Take Five" sebagai panduan mudah namun berkesan untuk membantu orang ramai membuat keputusan pelaburan yang bijak dan selamat.

 

Langkah pertama ialah “Berhenti dan fikir” – sebelum membuat sebarang pelaburan, pelabur dinasihatkan untuk meluangkan masa berfikir secara rasional dan tidak membuat keputusan secara emosional atau kerana terpedaya dengan janji keuntungan besar dalam masa singkat.

 

Tawaran pelaburan yang kelihatan terlalu bagus untuk menjadi kenyataan selalunya mempunyai unsur penipuan.

 

Langkah kedua dan ketiga pula ialah “Semak sumber” dan “Jangan terburu-buru”. Pelabur perlu menyemak latar belakang syarikat dan individu yang menawarkan pelaburan – termasuk status pendaftaran mereka dengan SC atau Bank Negara Malaysia.

 

Semua maklumat boleh dirujuk secara terbuka melalui laman rasmi SC dan BNM. Dalam masa yang sama, elakkan tekanan untuk melabur dengan segera. Skim penipuan sering menggunakan taktik mendesak, seperti promosi terhad atau bonus segera, untuk memaksa mangsa bertindak cepat.

 

 

Xi

 

 

Akhir sekali, “Rujuk pakar” dan “Laporkan jika ragu”. Jika ada sebarang keraguan atau kekeliruan, pelabur disarankan untuk mendapatkan nasihat daripada penasihat kewangan berlesen atau pihak berkuasa seperti SC. Sekiranya terdapat elemen mencurigakan, laporkan segera kepada SC melalui saluran rasmi seperti talian aduan atau portal e-Aduan.

 

Tindakan segera boleh menyelamatkan bukan sahaja diri sendiri, tetapi juga orang lain daripada menjadi mangsa. Pendekatan "Take Five" ini bertujuan membentuk masyarakat yang lebih celik pelaburan dan mampu bertindak secara bijaksana dalam persekitaran yang penuh dengan risiko kewangan.

 

Oleh itu penulis ingin mengingatkan semua institusi dan para pakar kewangan yang telah berusaha gigih membangunkan serta memperkukuh industri kewangan negara, khususnya dalam bidang kewangan Islam, agar sentiasa berwaspada.

 

Terdapat segelintir individu yang tidak bertanggungjawab, sama ada dari dalam atau luar negara, yang mengambil kesempatan atas nama baik para pakar dan institusi kita. Individu-individu ini berpura-pura menjadi rakan, pelajar, atau rakan kerjasama, sedangkan niat sebenar mereka adalah untuk mempergunakan nama-nama tersebut demi kepentingan peribadi.

 

Golongan yang digelar sebagai "parasit" ini menggunakan nama cendekiawan, pakar kewangan dan institusi Malaysia yang dipercayai bagi tujuan mempromosikan produk atau perkhidmatan mereka.

 

Mereka mungkin tidak mempunyai kelulusan yang sah atau kebenaran rasmi, namun tetap mempergunakan nama-nama tersebut untuk meraih kepercayaan serta menarik pelanggan.

 

Tindakan ini bukan sahaja menjejaskan reputasi individu dan institusi terbabit, malah lebih membimbangkan, ia boleh merosakkan imej kewangan Islam serta kedudukan Malaysia sebagai peneraju global dalam bidang ini.

 

 

Xi

 

 

Isu ini bukan sekadar berkaitan wang atau keuntungan semata-mata. Apa yang lebih merisaukan ialah apabila prinsip kewangan Islam dan ajaran Islam disalahgunakan. Sekiranya maklumat atau perkhidmatan yang disampaikan oleh individu-individu ini tidak tepat atau mengelirukan, ia boleh menjejaskan kredibiliti kewangan Islam secara keseluruhan.

 

Natijahnya, orang ramai mungkin akan mula meragui kebolehpercayaan sistem kewangan Malaysia, sekaligus melemahkan usaha kita dalam mempromosikan nilai-nilai kewangan Islam yang sebenar.

 

Penulis turut merujuk kepada amaran rasmi yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) yang menyeru orang ramai agar menyemak kelayakan mana-mana individu atau syarikat yang mendakwa menawarkan perkhidmatan kewangan atau pelaburan.

 

BNM dan SC telah mengeluarkan senarai amaran berkenaan aktiviti penipuan dan penyalahgunaan nama pakar kewangan tanpa kebenaran. Orang ramai disarankan agar merujuk laman sesawang rasmi BNM atau SC bagi memastikan individu tersebut benar-benar berdaftar dan diberi lesen yang sah.

 

 

Xi

 

 

Sehubungan itu, penulis menyeru semua institusi dan pemimpin kewangan di Malaysia agar sentiasa berwaspada. Jangan mudah terpedaya dengan janji manis atau gelaran yang kelihatan hebat.

 

Marilah kita sama-sama memelihara nama baik kita, reputasi negara, serta kemurnian sistem kewangan Islam. Semoga Allah SWT melindungi kita semua dan sentiasa membimbing kita ke jalan yang benar.  - DagangNews.com
 

Dr Razli Ramli adalah Ketua Strategi dan Pengurusan Risiko yang juga Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) UTM dan juga Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di UIAM

 


utm

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IKTISAD