Perbincangan mengenai kewangan beretika bukanlah sesuatu yang baharu. Malah, ia telah lama tertanam dalam ajaran agama-agama utama dunia.
Penulis teringat perbincangan ketika lawatan ke New Delhi awal tahun ini bersama seorang sahabat India beragama Hindu, di mana beliau turut bersetuju bahawa riba adalah haram. Ini membuktikan bahawa bukan hanya Islam yang mengharamkan riba, bahkan agama lain juga mempunyai pendirian yang sama.

Satu daripada isu yang menjadi titik temu ialah larangan — atau sekurang-kurangnya pengawalan — terhadap amalan riba atau bunga.
Meskipun istilah dan penekanannya berbeza, mesej utamanya tetap sama: mengelakkan penindasan, memastikan keadilan, serta menjadikan kewangan sebagai alat kesejahteraan bersama, bukan sekadar keuntungan individu.
Penulis cuba menghubungkan perspektif Hindu, Islam, Kristian dan Yahudi berhubung larangan riba, dengan tujuan membuka ruang kepada dialog antara agama dalam membina sistem kewangan global yang lebih adil dan beretika.
Pandangan Hindu: Dharma dan Penolakan terhadap Eksploitasi
Dalam tradisi Hindu, termasuk ajaran Bhagavad Gita, terdapat garis panduan yang menolak perbuatan mengambil bunga atau usury.
Larangan ini berasaskan prinsip dharma, iaitu hidup dalam keseimbangan dan keadilan. Amalan mengenakan bunga, khususnya kepada golongan miskin, dianggap sebagai bentuk eksploitasi yang menjejaskan keharmonian sosial.
Kekayaan dalam pandangan Hindu seharusnya berfungsi untuk membina masyarakat, bukan menindas atau membebankan. Oleh itu, larangan bunga adalah sebahagian daripada usaha melahirkan individu dan masyarakat yang bersifat belas ihsan serta menjunjung nilai kerohanian melebihi kepentingan material.

Dalam Manusmriti (kitab undang-undang Hindu yang sering dirujuk bersama Bhagavad Gita), ada disebut:
“One who lives by charging interest on loans, and one who subsists by gambling, shall be excommunicated.” (Manusmriti, Bab X, Ayat 117).
Pandangan Islam: Keadilan Sosial melalui Larangan Riba
Dalam Islam, larangan riba adalah jelas dan tegas sebagaimana dinyatakan dalam al-Qur’an dan Hadis. Riba dianggap sebagai amalan yang tidak adil serta satu bentuk penindasan yang menguntungkan golongan kaya sambil menekan yang miskin.
Islam menekankan bahawa keuntungan mestilah lahir daripada usaha, risiko dan perkongsian sebenar, bukan daripada manipulasi kewangan. Justeru, kontrak seperti mudarabah dan musharakah dibangunkan sebagai alternatif kepada pinjaman berasaskan riba.
Larangan ini bukan sekadar hukum teknikal, tetapi mencerminkan maqasid syariah — menjaga keadilan, mengelakkan mudarat, serta memastikan agihan kekayaan yang seimbang.

Al-Qur’an, Surah al-Baqarah (2:275) menyatakan:
“Orang-orang yang makan (mengambil) riba tidak dapat berdiri melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk syaitan lantaran tekanan penyakit gila. Yang demikian itu kerana mereka berkata: ‘Sesungguhnya jual beli itu sama dengan riba,’ padahal Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba...”
Pandangan Kristian: Tradisi Gereja Awal Menentang Usury
Dalam tradisi Kristian, khususnya pada zaman gereja awal dan pertengahan, terdapat penekanan kuat terhadap larangan usury. Alkitab dalam Perjanjian Lama dan Baru memberikan amaran terhadap amalan mengenakan bunga ke atas pinjaman, khususnya apabila ia melibatkan orang miskin.
Pemikir seperti St. Thomas Aquinas menegaskan, mengenakan bunga adalah menyalahi moral kerana ia “menjual sesuatu yang tidak wujud”, yakni masa. Walaupun larangan ini dilihat lebih longgar seiring perkembangan ekonomi moden, nilai asal yang ditekankan tetap sama: belas kasihan, keadilan, dan perlindungan terhadap golongan lemah dalam sistem kewangan.

Bible (Deuteronomy 23:19-20) menyebut:
“You shall not charge interest on loans to your brother, interest on money, interest on food, interest on anything that is lent for interest. You may charge a foreigner interest, but you may not charge your brother interest...”
Pandangan Yahudi: Etika Pinjaman dalam Torah
Dalam tradisi Yahudi, kitab Torah juga mengandungi larangan mengenakan bunga kepada sesama orang Yahudi, meskipun dalam beberapa keadaan pinjaman kepada bukan Yahudi dibenarkan.
Prinsip asasnya tetap sama: pinjaman seharusnya menjadi alat untuk membantu, bukan menindas. Amalan tzedakah (sedekah atau amal kebajikan) digalakkan sebagai mekanisme untuk mengimbangi hubungan ekonomi agar masyarakat tidak terpinggir. Konsep ini menekankan bahawa kewangan mesti berfungsi dalam kerangka moral, bukan sekadar komersial.

Torah (Ezekiel 18:13) menegaskan:
“He lends at interest and takes a profit; will such a man live? He will not! Because he has done all these detestable things, he is to be put to death; his blood will be on his own head.”
Titik Temu Antara Agama
Apabila diteliti, keempat-empat agama besar ini berkongsi asas yang signifikan:
Sama-sama menolak sebarang bentuk eksploitasi kewangan yang menindas golongan lemah.
Menekankan bahawa kekayaan perlu berfungsi untuk tujuan kemasyarakatan, bukan sekadar kepentingan individu.
Perbezaan yang wujud hanyalah dari segi pelaksanaan dan tahap pengharaman. Namun, secara asasnya, semuanya menggariskan prinsip keadilan, belas kasihan dan kesederhanaan.
Relevansi dalam Dunia Moden
Dalam konteks dunia moden yang sarat dengan isu hutang, ketidaksamaan ekonomi dan krisis kewangan global, titik temu antara agama ini boleh dijadikan asas kepada dialog antara agama mengenai kewangan beretika.
Perbankan Islam dengan larangan ribanya boleh menjadi platform praktikal untuk menunjukkan bagaimana prinsip agama dapat diintegrasikan dengan sistem kewangan kontemporari.
Pada masa sama, nilai-nilai dari tradisi Hindu, Kristian dan Yahudi dapat memperkayakan wacana ini, sekali gus mewujudkan ruang kerjasama antara agama dalam membentuk ekosistem kewangan global yang lebih berperikemanusiaan.
Seruan Moral
Larangan riba dalam Islam, Hindu, Kristian dan Yahudi bukan sekadar larangan teknikal, tetapi seruan moral untuk mengelakkan ketidakadilan dan mengangkat martabat manusia.
Penulis amat percaya, prinsip ini, jika digabungkan, boleh menjadi asas kukuh bagi kewangan beretika yang merentas agama dan budaya.

Dunia hari ini memerlukan bukan sahaja sistem kewangan yang cekap, tetapi juga yang berperikemanusiaan.
Justeru, dialog antara agama tentang larangan riba menawarkan peluang untuk kita membina sistem kewangan yang bukan sahaja berfungsi, tetapi juga adil, beretika, dan selaras dengan nilai-nilai kemanusiaan sejagat.. - DagangNews.com
Dr Razli Ramli adalah Ketua Strategi dan Pengurusan Risiko yang juga Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) UTM dan juga Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di UIAM

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IKTISAD








