Sebagai seorang negarawan yang banyak berjasa, penulis ingin membawa para pembaca kepada pandangan Tun Dr. Mahathir Mohamad mengenai isu kedaulatan ekonomi Malaysia yang perlu dilihat dalam konteks pengalaman dan idealisme beliau.
Asasnya, Tun membawa suara kebimbangan tentang kemungkinan Malaysia menyerah sebahagian kemerdekaan ekonomi melalui perjanjian perdagangan yang berat sebelah dengan kuasa besar seperti Amerika Syarikat.
Pandangan ini lahir daripada keprihatinan seorang pemimpin yang pernah berdepan secara langsung dengan tekanan ekonomi Barat pada era 1980-an.
Dari segi maqasid syariah, keprihatinan terhadap hifz al-din wa al-mulk (memelihara agama dan kedaulatan) adalah wajar — kerana kedaulatan negara adalah prasyarat kepada kemakmuran umat.
Keterlibatan Global: Keperluan, Bukan Pilihan
Namun begitu, dari sudut ekonomi moden, penulis yakin, dalam realiti ekonomi global masa kini, keterlibatan Malaysia dalam perdagangan antarabangsa adalah suatu keperluan, bukan pilihan.
Negara kecil yang bersifat perdagangan terbuka tidak mampu hidup terasing. Di sinilah cabaran sebenar bagi kepimpinan hari ini, bagaimana menyeimbangkan prinsip kemerdekaan ekonomi dengan keperluan integrasi global.
Tun melihat penyertaan Malaysia dalam perjanjian antarabangsa sebagai bentuk “penyerahan”, namun dari sudut pandang ekonomi moden, ia juga boleh dilihat sebagai strategi managed interdependence, satu bentuk kebergantungan terurus yang memungkinkan negara mendapat manfaat tanpa mengorbankan kedaulatan mutlak.
Tun Mahathir menekankan pengalaman silam seperti “Dawn Raid” dan “Buy British Last” sebagai simbol keberanian Malaysia menentang pengaruh asing. Namun konteks semasa amat berbeza.
Dunia hari ini beroperasi atas prinsip keterhubungan digital, rantaian bekalan global, dan peraturan bersama. PMX dan pasukannya berdepan dunia yang lebih kompleks, di mana kekuatan bukan lagi pada penentangan semata-mata, tetapi pada kebijaksanaan berunding, memanfaatkan peluang, dan melindungi kepentingan nasional dalam sistem antarabangsa yang saling bergantung.
Mekanisme Perlindungan dan Risk Governance
Dari sudut strategi dan risiko, penulis melihat nilai utama bukan pada penolakan mutlak terhadap perjanjian luar, tetapi pada tahap risk governance yang dilaksanakan sebelum menandatangani sebarang perjanjian.
Sekiranya rundingan dibuat dengan kesedaran penuh terhadap klausa keluar (exit clause), pelan kontingensi (contingency plan), dan mekanisme perlindungan (safeguard mechanisms), maka ia bukan penyerahan tetapi perancangan berasaskan risiko yang matang. Ini sejalan dengan prinsip maqasid syariah dari aspek pemeliharaan harta dan kebijaksanaan membuat keputusan berdasarkan ilmu dan hikmah.
Tun turut menegur bahawa kerajaan hari ini seolah-olah lebih gemar “menyenangkan kuasa asing”. Dari satu sisi, teguran ini mengingatkan pemimpin agar tidak leka dengan diplomasi yang mengorbankan prinsip.
Namun dari sisi lain, dalam persekitaran geopolitik yang semakin tegang, terutamanya dengan peralihan ekonomi global antara Timur dan Barat, kemampuan Malaysia mengekalkan hubungan baik dengan semua pihak adalah aset strategik yang bernilai.
Diplomasi yang seimbang adalah sebahagian daripada maqasid menjaga keselamatan dan maruah negara di mata dunia.
Maqasid Syariah dan Peluang Dakwah Ekonomi
Dalam konteks Islam, maqasid syariah tidak menolak kerjasama antarabangsa selagi tidak menjejaskan izzah dan maslahah ummah.
Firman Allah SWT dalam Surah Al-Hujurat (49:13) mengingatkan bahawa umat manusia dijadikan berbangsa dan berpuak-puak untuk saling kenal-mengenali dan berbuat baik.
Maka, penglibatan Malaysia dengan kuasa ekonomi dunia perlu ditimbang bukan semata-mata dari segi “tunduk kepada Barat”, tetapi sebagai peluang dakwah ekonomi Islam, untuk memperkenalkan sistem kewangan dan perdagangan beretika berteraskan keadilan.
Pandangan Tun bahawa kita kini “menyerah hasil bumi” dan “mengikut peraturan digital mereka” juga ada asasnya dari segi kebimbangan terhadap eksploitasi sumber dan monopoli teknologi.
Ini wajar menjadi peringatan kepada kerajaan agar setiap perjanjian mempunyai local content requirement, data sovereignty clause, dan strategi pembangunan kapasiti nasional. Ini penting bagi memastikan manfaat jangka panjang berpihak kepada rakyat Malaysia.
PMX perlu memastikan bahawa setiap pelaburan asing disertai dengan pemindahan teknologi, peluang pekerjaan dan pembangunan nilai insan.
Keseimbangan Maslahah dan Daf‘ al-Mafsadah
Dari sudut maqasid syariah, pendekatan terbaik ialah memastikan keseimbangan antara maslahah ‘ammah (kepentingan umum) dan daf‘ al-mafsadah (mengelak mudarat).
Jika keterlibatan ekonomi antarabangsa membawa manfaat kepada pekerjaan, inovasi, dan harga barangan yang stabil, maka ia perlu diteruskan dengan kawalan yang adil. Namun, jika ia menjurus kepada ketidakseimbangan kuasa dan penindasan ekonomi, maka langkah pembetulan mesti segera diambil.
Dalam hal ini, Tun Mahathir berperanan sebagai suara semak imbang (check and balance) yang sihat dalam ekosistem demokrasi.
Sebagai ahli ekonomi Islam, penulis berpandangan bahawa maqasid syariah menuntut kesejahteraan negara melalui prinsip keadilan, amanah, dan pertanggungjawaban. PMX perlu memastikan setiap keputusan ekonomi, termasuk perjanjian antarabangsa, diimbangi oleh nilai-nilai ini.
Tun Mahathir pula, dengan pengalamannya yang luas, mengingatkan bahawa keadilan ekonomi tidak akan tercapai jika negara hilang kuasa menentukan dasar sendiri. Kedua-dua pandangan ini wajar dihormati dan digabungkan sebagai panduan kepada dasar masa depan Malaysia.
Peranan Dua Negarawan
Kenyataan Tun Mahathir adalah satu peringatan yang lahir daripada semangat patriotik dan kebimbangan terhadap kedaulatan bangsa.
Namun, pada masa yang sama, kerajaan di bawah PMX perlu dilihat sebagai berusaha membawa Malaysia ke hadapan melalui keterlibatan global yang strategik dan berprinsip.
Dalam kerangka maqasid syariah, kedua-dua pendekatan ini boleh disatukan: membina negara yang bebas, bermaruah dan berdikari, tetapi tetap terbuka, progresif dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.
Sebagai pemerhati ekonomi Islam, penulis menaruh harapan agar Tun Dr. Mahathir Mohamad dan PMX dapat menzahirkan jiwa besar mereka dengan membuang yang keruh dan mengambil yang jernih demi masa depan Malaysia.
Kedua-duanya mempunyai pengalaman dan kebijaksanaan yang tiada tandingan; seorang membawa semangat perjuangan mempertahankan kedaulatan, seorang lagi membawa visi pembaharuan dalam dunia global yang mencabar.
Jika kedua-duanya dapat bertemu di titik tengah, berpaksikan semangat ukhrawah watan dan nilai maqasid syariah seperti keadilan, kemaslahatan dan tanggungjawab, maka generasi anak cucu Malaysia akan mewarisi sebuah negara yang bukan sahaja maju dan berdaya saing, tetapi juga kekal bermaruah, berjiwa Islam dan berakar pada nilai bangsa yang luhur.
Pada firasat penulis, lagu ‘anak kecil main api’, masih lagi sangat relevan. - DagangNews.com








