Selepas dua minggu hangat membicarakan kes hibah takaful viral baru-baru ini, saya dilontarkan pula dengan persoalan, “Adakah patut kita membatalkan sahaja polisi takaful yang kita sedia ada sekarang memandangkan penamaan hibah kita boleh dicabar dan dibatalkan oleh mahkamah?”
Malah ramai perunding takaful yang mengemukakan persoalan sama kepada saya untuk mendapatkan pandangan bagaimana ingin berdepan dengan persoalan ini daripada pelanggan mereka.
ARTIKEL 4 JUN 2025: Manfaat takaful yang sudah dihibahkan boleh terbatal jika dicabar waris lain, betulkah?
Walaupun saya bukan perunding takaful namun saya ialah seorang peserta takaful. Ketika ini saya ada 5 polisi yang ‘inforce’ atau sedang berkuatkuasa melalui pelbagai syarikat takaful.
Perunding takaful saya tidak perlu bersusah-payah meyakinkan saya untuk mengekalkan polisi itu kerana memang saya tidak akan membatalkannya.
Saya sangat faham duduk letak kes hibah takaful viral ini. Jadi Munirah AIA Takaful, Shahrina Etiqa Takaful dan yang lainnya, jangan risau!
Namun dalam masa yang sama saya sangat memahami sentimen masyarakat terhadap isu ini. Kalau hibah takaful yang dulunya dikatakan ‘absolute’ dan tidak boleh dicabar itu, kini boleh pula dibatalkan oleh mahkamah, buat apa kita bersusah-payah nak menjadi peserta takaful.
Walaupun saya bukan perunding takaful, saya antara orang paling awal di Malaysia bercakap tentang hibah takaful sekitar tahun 2014. Kenapa? Kerana pewarisan ialah tajuk hidup mati saya semenjak 1998 dan saya sangat teruja dengan pengenalan Jadual 10 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam (APKI) 2013.

Pada saya pengenalan akta ini sangat kena pada masanya dan juga sangat kena kepada maslahah ummah. Ia juga bakal menjadi rujukan untuk pengenalan undang-undang lain yang terkait dengan hibah.
Tajuk pembentangan saya yang paling kerap saya sampaikan ketika itu ialah ‘7 Kaedah Pewarisan Manfaat Takaful’. 7 kaedah ini pula saya garap daripada Jadual 10 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 yang memperincikan tentang hibah takaful.
Sebenarnya, jika kita semua membaca dengan teliti, kita akan dapati bahawa selain daripada hibah, ada 6 kaedah lain yang digariskan oleh akta itu.
Sesiapa yang ingin mengetahui secara terperinci pelaksanaan 7 kaedah pewarisan manfaat takaful ini, boleh tunggu pengumuman saya bila saya akan kembali berkongsi melalui sesi-sesi yang akan saya adakan secara dalam talian atau secara fizikal nanti.
Kesemua 7 kaedah (termasuk hibah) ini telah digarap sedemikian rupa oleh ahli-ahli Majlis Penasihat Syariah (MPS) Bank Negara Malaysia yang mujtahid itu supaya ia dapat memenuhi segala keperluan masyarakat. Cumanya, konsep hibah takaful ini telah ‘dijual’ sehingga melangkaui sifatnya yang sebenar.

Mengambil iktibar dari kes hibah takaful viral ini, apakah yang perunding takaful perlu lakukan mulai hari ini untuk mendepani persoalan daripada pelanggan mereka?
- Bagi penerangan terperinci bagaimana kes hibah takaful viral ini berlaku
Jelaskan kepada masyarakat bahawa kes ini terpencil dan tidak pernah berlaku sebelum ini. Semenjak pengenalan APKI 2013, syarikat takaful telah membayar manfaat takaful kepada penerima hibah (benefisiari) tanpa sebarang masalah dan ia mematuhi peruntukan undang-undang.
Namun bagi kes ini, ia unik kerana perbicaraan secara sebelah pihak (exparte) dengan hujahan yang hanya dikemukakan oleh pihak menuntut (ibu dan abang kepada simati), telah menyebabkan mahkamah tinggi memberikan keputusan seperti itu.
Namun balu masih berpeluang untuk mengemukakan kes ke mahkamah rayuan bagi menyemak semula keputusan yang dikeluarkan mahkamah tinggi.
Pada pandangan peribadi saya kes ini mempunyai merit yang kuat untuk menang kerana peruntukan Jadual 10 APKI 2013 telah tidak diambil kira sedangkan akta itu mengikat sepenuhnya operasi hibah takaful di Malaysia.
- Fahamkan masyarakat dengan ruang lingkup sistem perundangan harta pusaka orang Islam di Malaysia
Perunding takaful sebagai orang yang menyebarkan pendidikan kewangan kepada masyarakat juga perlu memahamkan masyarakat mengenai bagaimana sistem perundangan berkaitan harta pusaka bagi orang Islam berjalan di Malaysia.
Bagi isu siapa yang berhak ke atas harta simati dan berapa bahagian mereka, ini bidang kuasa mahkamah syariah (kecuali bagi kes hibah takaful kerana ia memang di bawah bidang kuasa mahkamah sivil kerana melibatkan APKI 2013). Namun bagi urusan pentadbiran harta pusaka, ia bidang kuasa mahkamah sivil.
Kes hibah takaful viral ini berlaku kerana pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan syarikat takaful memberikan manfaat itu kepada balu, tidak berpuas hati juga dengan keputusan mahkamah syariah yang telah mengesahkan hibah takaful ini, telah menggerakkan proses pentadbiran harta pusaka di mahkamah tinggi sivil melalui proses Letter of Adminisration. Di sinilah kelompongan proses itu berlaku dan telah digunakan oleh pihak berkenaan.
Selama 28 tahun saya terlibat di dalam industri perancangan harta dan pengurusan pusaka orang Islam, saya tidak pernah jemu mengajak masyarakat supaya melihat isu harta pusaka ini secara keseluruhan. Sekadar ada hibah sahaja tidak mencukupi kerana ia hanya sebahagian daripada proses.
Menguruskan harta pusaka di Pejabat Pusaka Kecil (Surat Kuasa Mentadbir dan Perintah Pembahagian) atau di Mahkamah Tinggi Sivil (Letter of Administration/Grant of Probate dan Distribution Order) ialah pelengkap kepada keseluruhan proses pentadbiran harta pusaka.
Cabaran kes-kes berkaitan pusaka termasuk hibah takaful itu sendiri memang sebenarnya tidak boleh dielakkan. Atas sifat manusia yang mencintai harta, akan sentiasa ada dalam kalangan waris-waris yang merasakan apa bentuk pembahagian sekalipun tidak adil dan akan mencabarnya melalui sistem perundangan.
Apa yang lebih penting ialah waris-waris atau penerima hibah MESTI TAHU apa yang perlu mereka lakukan apabila ada cabaran di mahkamah. Pastinya dengan bantuan syarikat amanah profesional seperti Wasiyyah, cabaran ini dapat dilalui dengan lebih mudah.

- Berikan maklumat yang tepat tentang hibah takaful dan 6 kaedah yang lain itu
Perunding takaful juga bertanggungjawab untuk menceritakan kepada masyarakat kesemua 7 kaedah pewarisan manfaat takaful dan tidak fokus hanya kepada hibah takaful sahaja. Setiap kaedah ini akan memenuhi keperluan-keperluan spesifik peserta takaful.
Contohnya jika peserta takaful mahukan manfaat takaful itu digunakan untuk membayar hutang-hutangnya, maka kaedah penamaan boleh digunakan.
Jika dia mahukan pula manfaat takaful itu digunakan bagi manfaat kebajikan, kesihatan atau pendidikan anak-anaknya mengikut formula tertentu, maka kaedah absolute assignment boleh digunakan. Di Wasiyyah, kaedah ini kami panggil ‘isti’man’.
Dalam keadaan tertentu semua 7 kaedah ini atau sebahagian daripadanya boleh digabung jalin pula sebagai kaedah hibrid yang unik kepada setiap peserta takaful. Tunjukkan spektrum sepenuhnya semua kaedah ini dan biarkan peserta membuat pilihan sendiri.
- Jangan ‘oversell’ konsep hibah itu sendiri
Ini kesilapan yang paling banyak berlaku di dalam industri takaful. Saya rasa tak perlu saya rungkaikan contoh-contohnya sebab selama belasan tahun kita sudah dapat melihat sendiri bagaimana hibah takaful itu dijual seperti satu produk sedangkan ia bukanlah produk.
Produk ialah pelan perlindungan yang disediakan oleh syarikat takaful itu. Penamaan penerima hibah (benefisiari) mengikut APKI 2013 itu hanyalah satu kaedah pewarisan sahaja.
Apabila kes hibah takaful viral ini berlaku, masyarakat akan tersalah anggap bahawa semua hibah tidak berkuatkuasa sedangkan isu yang timbul hanyalah berkenaan hibah takaful di bawah APKI 2013 sahaja!
Di Wasiyyah, kami memastikan urusan harta pusaka itu dilaksanakan dengan lengkap tanpa sebarang kelompongan seperti yang berlaku kepada kes hibah takaful viral ini.
Tak perlulah kita menyalahkan mana-mana pihak bila keadaan ini berlaku kerana kesilapan ketara rakyat Malaysia seperti yang pengalaman saya sendiri tunjukkan, ialah KEJAHILAN dan SIFAT PANDANG MUDAH kita terhadap isu ini.
Ramai di antara kita yang masih berfikiran, urusan harta pusaka ini SENANG SAHAJA dan waris-waris kita pun semuanya bagus. MUSTAHIL mereka akan berbalah kerana harta yang kita tinggalkan! - DagangNews.com









