Minggu lepas penulis menerima satu dokumen dari sahabat veteran penulis, berkaitan dengan komentar Tun Abdul Hamid Mohamad yang mengulas pandangan mantan Mufti Wilayah Persekutuan yang membenarkan bekerja di bank konvensional selagi tidak terlibat secara langsung dengan riba, tetapi menyarankan mencari pekerjaan lain yang lebih diyakini.
Tun berpandangan jawapan ini terlalu umum dan boleh menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pekerja professional Muslim yang mencari rezeki melalui industri perbankan.
Beliau menegaskan bahawa isu ini tidak wajar dipandang secara sempit kerana bukan semua pekerja terlibat dengan riba secara langsung. Menteri Agama turut menyarankan pandangan sebegini diberikan dengan teliti dan dalam bentuk bertulis agar tidak mengelirukan masyarakat.
Tun turut menekankan sumbangan besar pekerja Muslim di bank konvensional dalam membangunkan perbankan Islam. Pengalaman mereka menjadi asas kepada penubuhan dan kejayaan sistem perbankan Islam Malaysia sejak 1983. Sistem dua aliran, konvensional dan Islam, juga disokong kerana membolehkan pembangunan perbankan Islam secara berperingkat dan berdaya saing.
Akhirnya, Tun menyeru agar hukum bekerja di bank konvensional dinilai secara seimbang dengan mengambil kira realiti ekonomi, sumbangan pekerja Muslim, dan keperluan praktikal industri moden. Pendekatan yang sederhana dan berpandangan jauh penting supaya umat Islam dapat terus maju tanpa mengabaikan prinsip Syariah.
Dari perspektif saya sebagai senior practitioner dalam dunia kewangan Islam, Tun telah menyentuh "complexity isu" hukum bekerja di bank konvensional dengan tepat. Beliau mengulas jawapan mantan Mufti Wilayah Persekutuan yang sebelum ini sebagai terlalu binary, seolah-olah semua pekerjaan di bank konvensional otomatis terlibat riba, tanpa membezakan peranan seperti jurutera IT, sumber manusia, atau pegawai syariah di "jendela Islamik".
Tun Hamid mengingatkan kita tentang era 1950–1960-an: Orang Melayu Islam tiada akses ke pendidikan perbankan, apatah lagi alternatif Islam. Ketika perbankan Islam belum wujud, generasi perintis seperti pegawai Bank Negara Malaysia (BNM) tahun 1970-an terpaksa mempelajari sistem konvensional terlebih dahulu.
Pengalaman merekalah yang membolehkan kelahiran Bank Islam Malaysia (1983) dan produk seperti murabahah dan ijarah.
Jika tidak, kewangan Islam Malaysia mungkin masih "bayi" hari ini. Profesor Yusuf Talal DeLorenzo, pakar perbankan Islam AS, tepat menasihati anaknya: "Pergi belajar perbankan konvensional dahulu". Ilmu konvensional adalah asas untuk inovasi Islamik.
Malaysia telah mengambil langkah berani dan bijaksana dengan memilih pendekatan dual-system dalam sektor kewangan, iaitu membenarkan sistem perbankan konvensional dan perbankan Islam bergerak seiring.
Pendekatan ini wajar dipuji kerana ia menunjukkan kesedaran mendalam Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kerajaan Malaysia terhadap realiti pasaran, kestabilan ekonomi serta keperluan masyarakat yang pelbagai. Sebagai sebuah negara berbilang kaum dan agama, pendekatan ini bukan sahaja inklusif tetapi juga memastikan kelangsungan ekonomi negara tanpa menjejaskan aspirasi umat Islam untuk mengamalkan muamalat patuh syariah.
Tun Hamid telah mengemukakan tiga hujah kukuh dalam mempertahankan pendekatan ini. Pertama, pembangunan secara berperingkat adalah penting untuk mengelakkan krisis ekonomi. Penghapusan serta-merta sistem konvensional akan memberi kejutan kepada pasaran dan berpotensi meruntuhkan keyakinan pelabur serta pemain industri. Dengan dual-system, peralihan dapat dilakukan secara teratur dan berstruktur.
Kedua, persaingan sihat yang wujud hasil kewujudan kedua-dua sistem ini mendorong perbankan Islam untuk berdaya saing dari segi inovasi produk dan tahap kecekapan. Persaingan ini memberi manfaat besar kepada pelanggan kerana mereka ditawarkan produk yang lebih berkualiti, kos yang lebih kompetitif, serta perkhidmatan yang lebih mesra pengguna.
Ketiga, penggunaan infrastruktur sedia ada melalui “jendela Islamik” di bank konvensional membolehkan sumber dimanfaatkan secara efisien tanpa membebankan industri dengan kos tambahan yang tinggi.
Sebagai penasihat syariah, penulis melihat pendekatan ini bukan sekadar kompromi, tetapi strategi pragmatik yang memacu transformasi industri kewangan negara. Inilah keberanian dan kebijaksanaan dasar yang dilaksanakan oleh BNM dan Kerajaan Malaysia, yang sewajarnya menjadi contoh kepada negara lain dalam mengimbangi tuntutan agama, keperluan pasaran, dan kelestarian ekonomi.
Tun Hamid telah mendedahkan satu masalah kritikal dalam pembangunan kewangan Islam di Malaysia, iaitu jurang ilmu di kalangan ulama syariah. Beliau berkongsi kisah seorang mufti yang pernah menganggotai Lembaga Penasihat Syariah, tetapi akhirnya meletak jawatan kerana mengakui tidak memahami struktur produk kewangan moden.
Keadaan ini menimbulkan persoalan besar: "Bagaimana kita boleh menghukum sesuatu produk kewangan jika tidak memahami mekanisme seperti forward swap atau derivatif?" Isu ini menuntut perhatian serius kerana ia boleh menjejaskan kredibiliti institusi kewangan Islam itu sendiri.
Berdasarkan pengalaman penulis sebagai penasihat syariah, realiti ini memang wujud dan amat membimbangkan. Dalam banyak mesyuarat yang membincangkan instrumen kewangan kompleks seperti sukuk berstruktur atau teknologi kewangan (fintech), terdapat ulama tradisional yang kelihatan sukar memahami aspek teknikal perbincangan.
Hal ini bukan bermaksud mereka tidak berkelayakan, tetapi sistem pendidikan dan latihan semasa kurang menekankan integrasi ilmu syariah dengan realiti kewangan moden. Kekurangan ini jika tidak ditangani akan menghalang inovasi dalam kewangan Islam dan mengekang daya saing industri di peringkat global.
Justeru, solusi terbaik adalah menggabungkan kepakaran daripada pelbagai bidang. Ulama syariah perlu berkolaborasi rapat dengan jurutera kewangan, ahli ekonomi, pakar teknologi, dan bekas eksekutif bank konvensional yang memahami fiqh muamalat serta mekanisme pasaran.
Pendekatan multidisiplin ini akan memastikan produk kewangan Islam bukan sahaja patuh syariah, tetapi juga kompetitif, inovatif, dan berdaya tahan menghadapi cabaran semasa. Dengan kerjasama yang strategik, kewangan Islam mampu terus berkembang sebagai sistem yang relevan dan dipercayai di peringkat antarabangsa.
Tanpa pendekatan ini, mustahil para penasihat Syariah boleh memahami dan meluluskan produk Islamik seperti i-Biaya (pembiayaan patuh syariah menggantikan overdraf konvensional) atau menasihati pelanggan korporat tentang transaksi merger & acquisition (M&A) berlandaskan musharakah.
Kesimpulannya, penghargaan terhadap sumbangan generasi terdahulu yang menimba ilmu daripada sistem konvensional adalah sesuatu yang wajar dan tidak boleh dinafikan. Tanpa asas pengetahuan mereka, kewangan Islam di Malaysia tidak akan mencapai tahap kematangan seperti hari ini.
Pengalaman dan kepakaran yang mereka bawa telah menjadi batu asas yang kukuh untuk perkembangan industri yang berlandaskan syariah. Mengabaikan sumbangan ini adalah seolah-olah menolak realiti sejarah yang membentuk kekuatan kewangan Islam masa kini.
Bagi generasi profesional muda, cabarannya lebih besar dan tanggungjawabnya lebih berat. Penguasaan ilmu kewangan konvensional harus dijadikan titik mula, bukan destinasi akhir. Kejayaan sebenar terletak pada kemampuan untuk menyesuaikan, menambah baik dan membangunkan sistem kewangan Islam yang lebih unggul, adil dan berdaya saing.
Seperti peringatan Tun Hamid, ilmu tentang larangan riba tidak seharusnya hanya dilaungkan, tetapi mesti dizahirkan dalam bentuk produk yang memenuhi tuntutan syariah serta keperluan ekonomi semasa. Inilah peranan yang harus dipikul, membina jambatan daripada pengetahuan yang baik dari konvensional menuju kejayaan kewangan Islam yang sebenar.
Pergilah belajar perbankan konvensional, tetapi jangan berhenti di situ. Jadilah pakar yang membawa pulang ilmu itu untuk membina sistem Islamik lebih baik. - DagangNews.com
Dr Razli Ramli adalah Ketua Strategi dan Pengurusan Risiko yang juga Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) UTM dan juga Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di UIAM dan merupakan Setiausaha Kehormat ARIF

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IKTISAD








