KKM arah tarik balik produk Mi Sedaap mengandungi Ethylene Oxide | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KKM arah tarik balik produk Mi Sedaap mengandungi Ethylene Oxide

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 26 April - Satu lagi jenama mi segera, Mi Sedaap dari Indonesia, didapati mengandungi pencemaran 'Ethylene Oxide', menurut Kementerian Kesihatan (KKM).

 

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, ia dikesan daripada ujian yang dilakukan ke atas 11 sampel Mi Sedaap daripada 36 produk mi segera pelbagai jenama di pasaran tempatan, sejak tahun lepas sehingga kini.

 

"Didapati 11 sampel produk Mi Sedaap mengandungi ethylene oxide dan tindakan penguatkuasaan akan diambil. Tindakan yang diambil termasuklah kompaun, tindakan mahkamah dan juga penarikan balik produk dari pasaran," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Ethylene Oxide merupakan sebatian gas kimia yang karsinogenik dan sering digunakan untuk membunuh makhluk perosak seperti serangga.

 

Ia juga digunakan sebagai bahan aktif dalam bahan pencuci tetapi tidak dibenarkan penggunaannya pada permukaan yang bersentuhan makanan.

 

Dalam pada itu, Muhammad Radzi berkata, bagi sampel Mi Kari Putih Penang Alai, persampelan di Malaysia mendapati ia mematuhi perundangan.

 

Meskipun begitu katanya, bagi memastikan kawalan keselamatan makanan yang berterusan, KKM telah mengeluarkan arahan kepada pihak syarikat untuk penarikan balik secara sukarela produk mi tersebut bagi kumpulan berkaitan yang mempunyai tarikh luput 25 Ogos 2023 dari pasaran tempatan sekiranya ada.

 

 

kkm

 

 

"Berdasarkan semakan data dari 'Food Safety Information System of Malaysia', KKM juga mengesahkan bahawa terdapat produk mi segera jenama 'Indomie Perisa Ayam Spesial' keluaran Indonesia ke negara ini.

 

"Dalam hal ini, KKM telah mengeluarkan arahan untuk tindakan Tahan, Uji dan Lepas bagi produk tersebut di semua pintu masuk negara dan meminta pihak syarikat menarik balik secara sukarela produk terlibat dari pasaran," katanya.

 

Tambahnya, KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna.

 

Katanya, pengguna dinasihatkan tidak mengambil atau memakan produk terlibat.

 

Sebarang maklumat atau kemusykilan berhubung isu itu, pengguna boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat, menyalurkan melalui laman web http://moh.spab.gov.my atau laman Facebook, Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM). - DagangNews.com