KUALA LUMPUR 19 April - Khazanah Nasional Berhad menerajui usaha bersepadu bersama badan-badan gabungannya, Khazanah Research Institute (KRI), Yayasan Hasanah dan Think City untuk menangani jurang yang lazim dalam perumahan sosial di Malaysia melalui pencadangan dasar, pemerkasaan komuniti dan inisiatif ‘placemaking’.
Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata bagi mencapai objektif syarikat dalam mencipta nilai masyarakat berterusan untuk memajukan negara, peminggiran sosial mesti ditangani bagi menikmati masa depan positif dan antara yang memerlukan perhatian segera ialah komuniti PPR.
“Tambahan peruntukan RM35 juta daripada kerajaan untuk program pemerkasaan komuniti perumahan awam di Selangor dan Kuala Lumpur akan memberi manfaat kepada 50,000 penduduk melalui program Kita-Untuk-Kita (K2K) yang diterajui oleh Think City,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut kajian KRI terhadap dasar awam ke atas PPR, perumahan tersebut berjaya menyediakan tempat perlindungan kepada golongan miskin bandar, bagaimanapun, ia pantas menjadi kawasan setinggan bandar.
Oleh itu, melalui kajian tersebut, rangka kerja dasar ditetapkan, termasuk tumpuan kepada kualiti perumahan sosial, peranan kerajaan dalam mengekalkan skim perumahan sosial yang mencukupi serta kesan penyediaan perumahan sosial ke atas pasaran perumahan swasta.
"Laporan itu juga menggariskan pelan tindakan yang perlu diambil dalam menangani kelemahan yang menjejaskan program PPR, termasuk kajian semula dasar perumahan sosial dan menangani kekurangan pasaran swasta berpanjangan, di mana rumah menjadi sangat tidak mampu dimiliki oleh majoriti rakyat Malaysia," kata Khazanah.
Dalam menangani isu kemiskinan dalam kalangan komuniti PPR, pendekatan berasaskan komuniti (CBA) Yayasan Hasanah berusaha untuk menangani isu multidimensi dalam komuniti berpendapatan rendah melalui penglibatan pelbagai organisasi untuk mewujudkan impak yang selaras, holistik dan mampan.
Pendekatan CBA itu adalah pemahaman terhadap pelbagai jenis kemiskinan dan puncanya adalah lebih daripada kekurangan pendapatan dan sumber, yang turut merangkumi ekonomi, sosial, budaya, peminggiran dan semua ini secara amnya berhubung kait dengan pemahaman yang lemah tentang hak asasi manusia.
Manakala, inisiatif K2K oleh Think City dianjurkan bagi meningkatkan kehidupan komuniti perumahan awam dengan memanfaatkan kepakaran kolektif rangkaian dan perkongsiannya untuk mereka bentuk dan melaksanakan program komprehensif dalam menyelesaikan cabaran sosial, ekonomi dan fizikal.
Pengarah Urusan Think City, Hamdan Abdul Majeed berkata K2K menggalakkan tindakan kolektif untuk komuniti perumahan awam yang lebih inklusif, berdaya tahan dan makmur, serta tanggungjawab bersama untuk mencapai hasil lebih saksama yang memenuhi keperluan dan aspirasi masyarakat, selaras dengan Malaysia Madani.

“Di samping usaha melaksanakan inisiatif daya tahan sosial, kami berharap dapat membentuk pendekatan yang demokratik dan mampan atas dasar saling percaya bersama komuniti perumahan awam, rangkaian kami dan melalui perkongsian untuk bersama-sama melaksanakan program komprehensif di mana ia diperlukan,” tambahnya.
Khazanah berkata inisiatif pihaknya dan badan-badan gabungannya dapat memberi momentum dan sokongan selanjutnya terhadap usaha kerajaan meningkatkan kehidupan komuniti PPR, melalui dasar-dasar berkaitan dan anjuran program bersama bagi menyampaikan pelbagai faedah kepada rakyat. -DagangNews.com








