Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 20 Ogos - Telekom Malaysia Berhad (TM) dijangka menyaksikan keuntungan bersih utama 7% hingga 10% lebih rendah pada suku kedua tahun kewangan 2021 (2QFY21) berbanding tahun lalu susulan pengoptimuman sumber pada tempoh berkenaan yang merupakan sebahagian daripada program transformasinya.
Dari segi perbandingan suku tahun, keuntungan bersih TM dijangka menyusut antara 25% hingga 28% kepada RM240 juta hingga RM250 juta, menurut CGS-CIMB Research.
“Ini akan membawa keuntungan bersih utama pada separuh pertama FY21 (1HFY21) berjumlah antara RM570 juta hingga RM580 juta, melonjak 12% hingga 14% berbanding tahun lalu, berada di landasan tepat untuk memenuhi unjuran kami pada FY21 antara 49% hingga 50%.
“Kami menjangkakan dividen sesaham pada kadar 6.8 sen akan dikekalkan untuk 1HFY21, dengan berbaki 12.3 sen untuk diumumkan pada 2HFY21 (60% agihan daripada FY21),” jelas firma itu dalam satu nota kajian.
TM dijangka mengumumkan prestasi kewangan untuk 2QFY21 menjelang 27 Ogos ini.
Dalam pada itu, hasil data TM juga diunjurkan menyusut bagi perbandingan suku tahun, selepas penjualan hak penggunaan (IRU) meningkat dengan ketara pada 1Q2FY1.
Bagi perbandingan tahunan, hasil data itu mungkin dipacu oleh pertumbuhan berterusan dalam permintaan fibre untuk backhaul mudah alih dan borong Akses Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi.
“Hasil lain mungkin melemah bagi perbandingan suku tahun memandangkan penghantaran projek ICT pelanggan tertangguh ekoran sekatan pergerakan, namun ia mungkin melonjak daripada tahun lalu yang menyaksikan tempoh 2QFY20 turut terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama,” tambah firma itu.
CGS-CIMB mengekalkan saranan ‘tambah’ saham TM dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada kadar RM7 sesaham. - DagangNews.com








