KUALA LUMPUR 5 Mei - Saham pengeluar sarung tangan getah Malaysia miliki peluang cerah untuk menarik pelabur susulan lonjakan kes COVID di Asia Tenggara.
Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata lonjakan kes COVID di rantau ini menjejas terutamanya Malaysia dan Filipina.
Menurut firma penyelidikan itu, hospital di Malaysia menjadi terlalu sesak dengan pesakit telah menduduki lebih 70% katil hospital kerajaan setakat 29 April.
Ini telah mendorong pihak berkuasa merayu agar individu yang positif COVID menjalani kuarantin sendiri selama tujuh hari.
“Peningkatan kes itu disebabkan aktiviti perjumpaan sempena Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini, dengan negara juga mencatatkan lebih banyak kematian dalam tempoh dua minggu lalu berbanding dua minggu sebelumnya,” katanya.
Di Filipina, kata firma itu, jumlah individu yang diuji positif telah meningkat daripada 7% kepada 17% pada April, membawa kepada pembukaan semula kemudahan rawatan COVID untuk menguruskan lonjakan kes.
Sementara itu, Vietnam telah melaksanakan semula beberapa sekatan wabak, manakala Singapura mengalami masa menunggu yang lebih lama untuk kemasukan ke hospital.
“Sistem penjagaan kesihatan di Asia Tenggara sudah mengalami tekanan akibat wabak itu dan kekurangan kakitangan perubatan memburukkan lagi keadaan, dengan negara membangun di rantau ini kurang bernasib baik dalam persaingan global untuk pekerja perubatan,” tambahnya.
Jika menjangkakan saham pengeluar sarung tangan getah kembali beraksi, Maybank IB mempunyai waran panggilan yang diterbitkan ke atas empat pengeluar sarung tangan teratas di Malaysia dengan TOPGLOV-C3D, HARTA-C1L, KOSSAN-C48 & SUPERMX-C3G. -DagangNews.com








