Kenanga Research turunkan ramalan pendapatan SLP sebanyak 18-6% kesan eksport berkurang, kos operasi tinggi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kenanga Research turunkan ramalan pendapatan SLP sebanyak 18-6% kesan eksport berkurang, kos operasi tinggi

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 8 Mei - Kenanga Research mengurangkan ramalan pendapatan SLP Resources Berhad bagi tahun kewangan 2023 dan 2024 (FY23-24) masing-masing sebanyak 18% dan 6%.

 

Susulan keputusan suku pertama tahun kewangan 2023 (1QFY23) syarikat pembuatan dan penjualan pembungkusan plastik itu, firma penyelidikan tersebut telah menyemak turun unjuran bagi mencerminkan eksport yang semakin berkurang dan peningkatan kos operasi.

 

Mengulas berkenaan prospek kumpulan, firma itu berkata penyelidik pasaran Mordor Intelligence mengunjurkan pasaran pembungkusan plastik global berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) sebanyak 3.5% pada 2022 hingga 2027.

 

“Kami percaya pemain tempatan boleh berkembang pada kadar lebih pantas dalam tempoh ini dengan memperoleh bahagian pasaran daripada pengeluar luar negara yang kehilangan daya saing akibat peningkatan kos pengeluaran.

 

Bagaimanapun, dalam tempoh terdekat, sektor yang bergantung kepada eksport ini tidak akan terlepas daripada kelembapan ekonomi global,” ujarnya dalam nota hari ini.

 

Sementara itu, tambah firma itu, SLP mencatatkan 1QFY23 yang mengecewakan akibat kelemahan eksport dan kos operasi lebih tinggi namun kumpulan tersebut berharap separuh kedua tahun kewangan 2023 (1HFY23) menjana permintaan lebih baik daripada pasaran luar negara seperti Jepun, Australia dan New Zealand, didorong ekonomi global yang kian pulih.

 

Menurut firma tersebut, keputusan 1QFY23 melepasi jangkaan pada hanya 15% setiap satu daripada ramalan tahun penuh firma dan anggaran tahun penuh konsensus.

 

“Pendapatan 1QFY23 susut 12% sebahagian besarnya disebabkan oleh eksport yang lebih perlahan berikutan kelembapan ekonomi global.

 

Keuntungan bersih merosot dengan magnitud yang lebih besar sebanyak 30% disebabkan oleh kos operasi yang lebih tinggi, terutamanya kos kakitangan seperti yang dinyatakan,” kata firma itu.

 

Namun, Kenanga menyukai SLP disebabkan campuran produknya yang condong ke arah produk bukan komoditi margin tinggi seperti kantung kanggaru dan filem mono serta aliran tunai dan kunci kira-kira yang kukuh, membenarkan pembayaran dividen yang konsisten dan memuaskan.

 

“Bagaimanapun, kami bimbang terhadap kelembapan berpanjangan dalam ekonomi global yang akan menjejaskan pendapatan SLP,” tambahnya.

 

Firma itu mengekalkan saranan ‘market perform’ dengan harga sasaran (TP) bernilai RM1.09 sesaham. -DagangNews.com.