Kenanga naik taraf Axiata kepada 'Outperform', jangkakan perniagaan digitalnya terus berkembang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kenanga naik taraf Axiata kepada 'Outperform', jangkakan perniagaan digitalnya terus berkembang

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 9 Dis - Keuntungan Axiata Digital Services (Axiata Digital) mungkin lebih kukuh daripada jangkaan yang dibuat, selepas ia merekodkan jualan bagi tahun kewangan 2021 (FY21) sebanyak RM1.1 bilion, melebihi unjuran RM700 juta Kenanga Investment Bank Research

 

Menurut Kenanga, jualan yang kukuh dan skala yang meningkat akan terus memberikan pertumbuhan EBITDA bagi Axiata Digital dan mempercepatkan laluan Boost kepada keuntungan.

 

Ujarnya, segmen e-dagang dan pemasaran digital Axiata Digital akan terus menyaksikan pertumbuhan kukuh untuk tahun-tahun akan datang. 

 

"Penerimaan e-dompet yang berterusan dan pertumbuhan pinjaman Boost yang sihat seharusnya menjadikan ia positif bagi  EBITDA untuk FY22 Axiata," katanya dalam nota penyelidikannya di sini hari ini.

 

Tambah Kenanga, kedua-dua Celcom dan XL terus memacu pertumbuhan melalui cadangan konvergens, dengan inisiatif penjimatan kos. 

 

Ujarnya, Axiata bersedia untuk mencapai sasaran 5: 10: 20: 20 dalam 5 tahun menjelang 2024, untuk mencapai kos <10 sen/GB, Margin EBIT Kumpulan >20% dan  dividen sesaham (DPS) sebanyak 20 sen, dengan edotco sebagai penyumbang utama masa hadapan.

 

"Kami mengekalkan anggaran FY21, tetapi memperhalusi pendapatan FY22 meningkat sebanyak 3%, selepas mengubah andaian secara menyeluruh. 

 

"Kami menaikkan DPS FY21 daripada 8 sen kepada 9 dan DPS bersih FY22 daripada 10 sen kepada 12 sen," katanya.

 

Dalam pada itu Kenanga turut menaiktaraf saham Axiata daripada 'Market Perform' kepada 'Outperform'  dengan harga sasaran lebih tinggi iaitu RM4.30 daripada RM4.20.

 

"Kami juga berpendapat FY22 akan menjadi tahun yang menarik bagi Axiata Digital," katanya. -DagangNews.com