Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 13 Dis - Prospek pertumbuhan Kimlun Corp untuk FY22 adalah cerah, diterajui oleh projek mega utama seperti RTS dan Pan Borneo Fasa 2.
Penganalisis daripada Kenanga Research berkata, terdapat ruang untuk kejutan jika Kimlun berjaya mendapatkan lebih daripada dua projek mega tersebut.
"Kami menjangkakan persaingan menjadi sengit memandangkan pandemik COVID-19 telah menyebabkan beberapa projek mega tergendala.
"Bagaimanapun kami mengekalkan unjuran pendapatan FY21 dan FY22 Kimlun dan panggilan 'OUTPERFORM' dengan harga sasaran tidak berubah sebanyak RM1.25," katanya dalam nota penyelidikannya di sini hari ini.
Sehingga hari ini, Kimlun telah menambah semula kontrak bernilai RM1.162 bilion yang merangkumi RM1 bilion pembinaan dan RM0.162 bilion bagi pembuatan pre-cast.
"Untuk rekod, Kimlun telah melepasi sasaran penambahan semula awal pada November 2021 apabila mereka memenangi kontrak Sabah Sarawak Link Road bernilai RM780 juta.
"Sebelum kontrak itu, kami menyasarkan penambahan semula bernilai RM600 juta manakala pengurusan hanya berpandukan RM650-680 juta pada awal tahun ini.
"Pada masa ini, buku pesanan tertunggak Kimlun berada pada RM2 bilion, menghampiri paras kemuncaknya sebanyak RM2.4 bilion pada FY17," ujarnya.
Kenanga berkata, untuk segmen hartanah pula, Kimlun telah menjadualkan tiga pelancaran dengan jumlah GDV RM200-300 juta pada FY22 iaitu Banglo Bukit Bayu Fasa 2A dengan GDV RM37 juta GDV, Banglo Bukit Bayu Fasa 2B (23 unit) pada RM50 juta GDV dan pembangunan komersil di Seri Alam .
"Sebagai perbandingan, FY20 dan FY21 hanya mempunyai pelancaran bernilai RM60 juta setahun," katanya.-DagangNews.com








