Kedai komersial Bay Street di Gamuda Cove capai kadar penghunian 90% | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kedai komersial Bay Street di Gamuda Cove capai kadar penghunian 90%

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 13 April - Kedai komersil Bay Street Gamuda Land di Gamuda Cove telah mencapai kadar penghunian 90% selepas pelancarannya pada 8 April 2023.

 

Pengurus Besar Gamuda Cove, Brandon Yong yakin dapat mencapai kadar penghunian penuh dalam tempoh enam bulan akan datang.

 

“Terdapat permintaan kukuh untuk unit komersil yang direka bentuk dengan teliti bagi memenuhi kawasan tadahan kediaman berdekatan yang juga mempunyai ketersambungan baik di dalam dan melangkaui perbandaran.

 

Oleh itu, ini menjadikan Bay Street sebagai pelaburan yang menarik untuk pelabur hartanah,” ujar beliau dalam satu kenyataan hari ini.

 

Terletak hanya 10 minit berjalan kaki dari perumahan Palma Sands, Bay Street juga berada di seberang jalan dari Maya Bay Residences, di mana kedua-dua komponen kediaman mempunyai hampir 1,500 rumah dan masing-masing dijadualkan untuk pemilikan kosong pada April 2023 dan 2024.

 

Menurut Gamuda Land, Bay Street juga berada di laluan e-trem pelancong yang menghubungkan kedai-kedai ke pelbagai komponen kediaman, tarikan seperti SplashMania Waterpark serta pembangunan masa hadapan, menjadikannya hartanah pelaburan yang menarik.

 

Setelah Bay Street dilengkapkan pada tahun 2026, kedai-kedai komersial itu kemudiannya akan memenuhi keperluan lebih 2,600 rumah di Gamuda Cove.

 

Mengulas berkenaan ketersambungan melangkaui perbandaran, Yong berkata, Gamuda Cove akan mempunyai akses terus ke Cyberjaya, di samping kerja naik taraf jalan melalui Jalan Kampung Sri Cheeding ke twentyfive7, Kota Kemuning sedang dijalankan.

 

"Kami percaya bahawa apabila kami kekal dengan prinsip pembangunan kami untuk mewujudkan sebuah bandar yang baik, bertenaga dan mampan, kami juga mencipta nilai untuk komuniti kami,” katanya.

 

Gamuda Land berkata, Gamuda Cove telah dianugerahkan lima berlian dalam reka bentuk Rangka Kerja Bandar Karbon Rendah (LCCF) daripada Kementerian Alam Sekitar dan Air, mengiktiraf perancangan induk dan reka bentuk yang baik untuk perbandaran seluas 1,530 hektar itu.

 

Ini akan menyaksikan Gamuda Cove mengambil pelbagai langkah daripada perancangan bandar, pengangkutan bandar, tenaga, bangunan, air dan pengurusan sisa dalam strategi pengurangan karbonnya dengan sasaran mencapai 45% pengurangan pelepasan karbon. -DagangNews.com