Jualan ekuiti Malaysia oleh pelabur asing susut kepada RM250 juta pada April daripada RM1.35 bilion dalam Mac – Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Jualan ekuiti Malaysia oleh pelabur asing susut kepada RM250 juta pada April daripada RM1.35 bilion dalam Mac – Maybank IB

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 5 Mei - Pelabur asing telah menjual bersih ekuiti Malaysia sebanyak RM250 juta pada April 2023, jumlah yang lebih kecil berbanding jualan bersih RM1.35 bilion pada bulan sebelumnya.

 

Penganalisis Maybank Investment Bank (Maybank IB), Wong Chew Hann berkata ini merupakan jualan bersih pelabur asing untuk lapan bulan berturut-turut, meningkatkan jumlah terkumpul bagi 2023 setakat ini kepada RM2.12 bilion.

 

“Kebanyakan jualan pada bulan April berlaku dalam tujuh hari terakhir dagangan. Pasaran pegangan asing berundur kepada 20% pada 30 April 2023 iaitu paras terendah baharu sejak krisis kewangan global, di mana pada akhir 2022 mencatatkan sebanyak 20.6%,” katanya dalam nota hari ini.

 

Berdasarkan data Dibots, antara 10 saham tempatan teratas yang dijual oleh pelabur asing pada April adalah CIMB, Tenaga Nasional, RHB, Top Glove, MyEG, Public Bank, YTL Power, Sime Darby, Hartalega dan Berjaya Food, di mana jualan bersih pelabur asing untuk saham CIMB membentuk 62% atau RM150 juta daripada keseluruhan jualan bersih mereka berjumlah RM250 juta.

 

Sementara itu, 10 saham teratas yang dibeli oleh mereka adalah Maybank, Hibiscus, Malaysia Airports, Genting Malaysia, Celcom-Digi, QL Resources, Press Metal, IHH dan YTL Corp.

 

Bagaimanapun, permintaan pelabur asing untuk bon ringgit Malaysia kekal pada Mac 2023 memandangkan bon global melonjak, dicetuskan oleh kegagalan bank di Amerika Syarikat (AS).

 

“Aliran masuk ke dalam bon Malaysia meningkat kepada RM6.6 bilion pada Mac berbanding RM4.3 bilion dalam Februari, secara amnya sejajar dengan aliran serantau dan merupakan aliran masuk bulanan terbesar dalam lebih setahun sejak Ogos 2021 dan juga menandakan aliran masuk bersih untuk bulan ketiga berturut-turut,” ujar Chew Hann.

 

Selain itu, saham pelabur asing dalam Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) meningkat kepada 36% pada Mac daripada 34.5% dalam Februari, manakala MGS+GII (Sekuriti Kerajaan Malaysia +Terbitan Pelaburan Kerajaan) telah naik 23.1% daripada 22.4% pada bulan sebelumnya.

 

Mengulas berkenaan pelabur institusi tempatan dan pelabur runcit, beliau berkata mereka kekal sebagai pembeli bersih ekuiti Malaysia.

 

Pelabur institusi telah membeli RM210 juta pada April, menyusut daripada RM1.28 bilion jumlah pembelian bersih dalam Mac, mencatatkan belian bersih setakat ini bagi 2023 sebanyak RM1.99 bilion.

 

Sementara itu, pelabur runcit telah membeli RM40 juta pada April berbanding RM70 juta bulan sebelumnya, menjadikan belian bersih setakat ini bagi 2023 berjumlah RM130 juta.

 

“Dari segi pergerakan pelabur (kecuali dagangan perniagaan langsung (DBT)) bulan ke bulan (MoM), pada April, pelabur asing menyusut 22% (Mac: 26.2%), manakala pelabur institusi tempatan dan pelabur runcit masing-masing meningkat kepada 48.1% (Mac: 46%) dan 29.9% (Mac: 27.8%) di samping nilai purata dagangan harian (ADTV) ekuiti menurun kepada RM1.8 bilion daripada RM2.2 bilion dalam Mac,” kata Chew Hann.

 

Beliau berkata aliran portfolio positif pada bulan Mac, mengimbangi jualan bersih ekuiti tempatan pada Mac 2023 sebanyak RM1.3 bilion, dengan mencatatkan peningkatan RM5.3 bilion berbanding RM4.1 bilion dalam bulan sebelumnya dan menjadikan aliran portfolio terkumpul untuk Januari hingga Mac 2023 berjumlah RM9.5 bilion berbanding RM5.4 bilion bagi tempoh yang sama tahun sebelumnya. -DagangNews.com