Jangan sembunyikan isu kelewatan pembinaan OPV 2 dan OPV 3 APMM | DagangNews Skip to main content

Jangan sembunyikan isu kelewatan pembinaan OPV 2 dan OPV 3 APMM

Sebahagian badan kapal dipercayai OPV 2 yang masih dalam pembinaan - gambar media sosial.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 23 Jan - Penyerahan kapal peronda luar pesisir pertama (OPV 1) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) memberi kelegaan kepada agensi tersebut setelah sekian lama tertangguh.

 

OPV 1 yang bakal dinamakan sebagai KM Tun Fatimah ini akhirnya siap walaupun mengambil masa enam tahun pembinaannya.

 

Selepas diserahkan kepada APMM, OPV 1 secara rasmi memulakan operasi pertamanya dengan melakukan pemantauan di kawasan perairan Sarawak.

 

Difahamkan, majlis penamaan OPV 1 ini akan disempurnakan oleh isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dalam masa terdekat.

 

OPV
Gambar yang dikongsikan dalam media sosial tahun lalu menunjukkan bahagian kapal OPV 2 dan OPV 3 yang belum disiapkan.

 

OPV

 

Pengoperasian aset terbaharu ini dapat memperkukuhkan keselamatan Zon Maritim Malaysia khususnya di kawasan Laut China Selatan yang menjadi tumpuan aktiviti ekonomi.

 

Dengan saiz OPV yang besar, ia juga akan menjadi kapal induk kepada bot-bot peronda APMM yang melakukan rondaan penguatkuasaan di kawasan tumpuan.

 

Bagaimana pun, penyerahan OPV 1 belum menyelesaikan isu kelewatan dalam projek pembinaan kapal ini apabila timbul tanda tanya apa nasib dua kapal berikutnya.

 

Sehingga kini pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) belum membuat sebarang kenyataan rasmi tentang status pembinaan OPV 2 dan OPV 3.

 

Mengikut perkiraan sebelum ini, kapal OPV 2 akan diserahkan kepada APMM beberapa bulan selepas OPV 1 dan seterusnya adalah kapal OPV 3.

 

OPV
Penyerahan OPV 1 melegakan APMM setelah terpaksa menunggu enam tahun untuk disiapkan.

 

Sepatutnya, selepas kapal OPV diluncurkan ke laut pada Oktober tahun 2022 maka progres seterusnya ialah menyiapkan struktur OPV 2 dan OPV 3 di limbungan.

 

Apa yang pelik ialah sepanjang dua tahun lalu tiada foto-foto rasmi keadaan kapal OPV 2 dan OPV 3 disiarkan oleh syarikat pembinanya atau pihak KDN bagi menunjukkan pembinaan aset ini.

 

Hanya yang tersiar ialah beberapa foto di dalam laman media sosial oleh pihak ketiga dipercayai kerangka kedua-dua kapal yang masih belum disiapkan.

 

Imbas kembali semasa lawatan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution ke Limbungan THHE di Pulau Indah, Selangor bulan Mac tahun lalu beliau diberi jaminan dua kapal OPV dapat disiapkan.

 

OPV
Pengoperasian kapal besar seperti OPV membolehkan rondaan dan pengawasan di laut dijalankan lebih lama.

 

Malah, semasa lawatan dua bulan sebelumnya, Saifuddin meminta projek pembinaan OPV disiapkan mengikut tempoh ditetapkan iaitu pada Mac bagi OPV 1 dan Oktober hadapan (OPV 2)

 

Mengikut jangkaan sebelum ini, OPV 2 diserahkan pada penghujung tahun lalu iaitu beberapa bulan selepas siap OPV 1.

 

Jadi, sekiranya kenyataan ini masih boleh dijadikan rujukan bermakna OPV 2 sepatutnya disiapkan dalam tahun ini.

 

Kontrak perolehan tiga OPV bernilai RM738.9 juta ini dimeterai TH Heavy Engineering (THHE) pada Januari 2017 untuk disiapkan dalam tempoh 42 bulan dan sepatutnya siap pada Julai 2020. 

 

Ia merupakan penganugerahan kontrak secara rundingan terus untuk keperluan projek di dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).

 

Opv
Isu pembinaan kapal OPV APMM perlu dijelaskan secara telus kepada rakyat agar tidak menimbulkan persepsi.

 

Pada awal tahun lepas, Kementerian Kewangan (MOF) terpaksa menyuntik pinjaman RM152.6 juta menjadikan kos keseluruhan kira-kira RM891.5 juta bagi memastikan kapal itu disiapkan tahun ini.

 

Ini kerana kelewatan pembinaan OPV tidak sepatutnya berlaku setelah THHE diberi satu tempoh yang lama untuk menyiapkan kapal-kapal berkenaan.

 

Ketika ini juga timbul persoalan apa status THHE dan program OPV APMM setelah keseluruhan projek diambil alih oleh kerajaan menerusi MOF.

 

Masalah-masalah yang menyebabkan kelewatan pembinaan perlu disiasat oleh kerajaan demi wang awam yang dibelanjakan serta kepentingan negara.

 

Isu kelewatan kapal OPV 2 dan OPV 3 bukan sesuatu yang perlu disembunyikan kerana rakyat berhak untuk diberitahu. - DagangNews.com