KUALA LUMPUR 12 Jun – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 11 Julai 2026 sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, manakala PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos 2026.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, tarikh penamaan calon bagi PRN Johor ditetapkan pada 27 Jun, manakala bagi Negeri Sembilan ditetapkan lewat tiga minggu kemudian iaitu pada 18 Julai.
Beliau berkata, pengundian awal akan diadakan pada 7 Julai bagi Johor dan 28 Julai bagi Negeri Sembilan, dengan kedua-dua PRN tersebut melibatkan peruntukan keseluruhan mencecah lebih RM167 juta.
"Tempoh berkempen bagi kedua-dua PRN tersebut ditetapkan selama 14 hari yang bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding sehingga pukul 11.59 malam sebelum hari pengundian," katanya.
Ramlan menyatakan demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas SPR di ibu pejabat suruhanjaya berkenaan di Putrajaya hari ini bagi penetapan PRN di dua negeri tersebut.
Menurut beliau, kos pelaksanaan untuk SPR melaksanakan PRN Johor dianggarkan mencecah sebanyak RM86.8 juta, manakala PRN Negeri Sembilan pula dijangka melibatkan kira-kira RM80.6 juta.
Ujarnya, bagi Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR), seramai 2.70 juta pengundi disahkan layak mengundi pada PRN Johor, manakala untuk Negeri Sembilan hanya melibatkan sejumlah 867,151 pengundi.
"Seramai 24,751 anggota tentera, polis dan pasangan mereka akan terlibat dalam pengundian awal di Johor, manakala di Negeri Sembilan pula melibatkan kira-kira 22,339 pengundi awal," tambah Ramlan lagi.
Untuk pengendalian PRN itu, SPR melantik 42,971 petugas di Johor dengan 1,076 pusat mengundi dan 4,889 saluran, manakala 15,344 petugas di Negeri Sembilan dengan 401 pusat mengundi dan 1,668 saluran.
Beliau turut menggesa semua pengundi berdaftar untuk segera membuat semakan maklumat pusat mengundi menerusi portal MySPR Semak, aplikasi MySPR Semak atau menghubungi talian hotline SPR.
SPR juga kata Ramlan membuka peluang kepada agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan berkaitan untuk memohon sebagai pemerhati pilihan raya bagi memantau proses pilihan raya.
Pada 1 Jun 2026, Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang mempunyai sejumlah 56 kerusi dibubarkan secara rasmi selepas mendapat perkenan daripada Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.
Sementara DUN Negeri Sembilan yang memiliki 36 kerusi dibubarkan pada 5 Jun selepas memperoleh perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir. - DagangNews.com
PRN Johor 11 Julai, Negeri Sembilan 1 Ogos, SPR peruntukkan lebih RM167 juta

PANORAMA ibu pejabat SPR di Putrajaya. - Foto BERNAMA
Oleh AMREE AHMAD







