KUALA LUMPUR 12 Jun – SP Setia Berhad mempercepatkan transformasi daripada pemaju tradisional kepada pemain hartanah bersepadu dengan merancang penyenaraian dana pelaburan hartanah (REIT).
Menurut CIMB Securities, langkah tersebut disasarkan lengkap menjelang separuh pertama 2027, selain giat merundingkan projek usaha sama (JV) dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM11.3 bilion.
Rancangan berkenaan ujarnya, merupakan sebahagian daripada strategi kumpulan untuk mempelbagaikan sumber pendapatan dan mengurangkan kebergantungan tinggi kepada jualan hartanah semata-mata.
"SP Setia kini sedang berunding bagi membangunkan projek strategik di lima lokasi utama iaitu Kuala Lumpur, Kota Seri Langat, Bukit Beruntung, Shah Alam dan Kulai," jelas firma tersebut lagi.
Tambah CIMB Securities, usaha berkenaan melibatkan keluasan tanah yang mencecah keseluruhan 598.93 hektar, dengan sebahagian daripada cadangan JV itu dijangka membabitkan pemilik tanah sendiri.
Perkembangan terbaharu itu katanya dalam nota analisis, sekali gus membolehkan kumpulan itu dapat mengurangkan kos pegangan bagi pelaksanaan projek pembangunan yang dirancang pada masa depan.
Ketika ini ujar firma penyelidikan berkenaan, SP Setia masih lagi memiliki bank tanah yang stabil berkeluasan 1,725.58 hektar dengan merangkumi 42 projek pembangunan di dalam dan luar negara.

"Kumpulan itu juga mengekalkan sasaran jualan hartanah dan pelancaran pelbagai projek bagi tahun kewangan 2026 (FY26) masing-masing sebanyak RM5.3 bilion dan RM5 bilion," kata CIMB Securities.
Daripada jumlah itu, RM3.4 bilion nilai pembangunan baharu akan dilancarkan sepanjang baki FY26, termasuk fasa pertama Setia Fontaines Industrial Park yang menjadi antara pemangkin baharu.
Projek lain pula termasuk di Kinrara, pembangunan semula di Setia Alam serta kerjasama strategik SP Setia dengan syarikat Jepun, Mitsui bagi mempercepatkan pembangunan Setia Eco Hill di Semenyih.
Di Australia jelas CIMB Securities, kumpulan pemaju berkenaan sudah mempunyai sejumlah tiga projek berstatus aktif termasuk pembangunan sulungnya di Sydney menerusi projek dikenali Saint Leonards.
"Pelancaran fasa pertama projek kediaman ini akan berlangsung pada suku keempat 2026 melibatkan tiga menara kediaman, dengan sebahagian unit diperuntukkan untuk penginapan pelajar," katanya.
Di Vietnam pula, SP Setia dijangka melancarkan Tower C bagi projek Setia Edenia @ EcoXuan dalam tempoh terdekat, manakala usaha pengukuhan portfolio hartanah pelaburan turut dirancang serius.
Kata CIMB Securities, ia menerusi penubuhan REIT dan pembangunan taman perindustrian hijau yang akan mewujudkan sumber pendapatan berulang lebih mampan kepada kumpulan dalam jangka panjang.
Bagaimanapun, firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'pegang' dan harga sasaran (TP) RM1.10 sesaham sementara menunggu perkembangan lanjut projek-projek baharu. - DagangNews.com








