KUALA LUMPUR 12 Jun – GWM Malaysia (Great Wall Motor Malaysia), pengeluar automotif dari China, menyasarkan pertumbuhan jualan dua digit menjelang akhir 2026, didorong prestasi kukuh serta pelancaran model baharu dalam segmen kenderaan elektrik.
Sasaran tersebut dibina atas momentum pertumbuhan syarikat yang mencatat lonjakan jualan sebanyak 117 peratus pada tahun lalu, meningkat daripada 2,128 unit kepada hampir 5,900 unit.
Peningkatan itu mencerminkan permintaan yang semakin kukuh terhadap jenama GWM di Malaysia, khususnya dalam segmen kenderaan hibrid dan elektrik.
Ketua Pegawai Operasi GWM Malaysia, Roslan Abdullah berkata, syarikat kekal optimis untuk mengekalkan momentum pertumbuhan tersebut dengan sokongan pelancaran produk baharu.
Beliau berkata, sasaran pertumbuhan dua digit itu dilihat mampu dicapai berdasarkan strategi semasa dan minat pengguna yang semakin meningkat terhadap teknologi kenderaan baharu.
“Dengan pelancaran produk baharu akan datang, kami menyasarkan pertumbuhan dua digit, insya-Allah,” katanya ketika ditemui pada Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) 2026 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC).
Pada pameran tersebut, GWM Malaysia memperkenalkan dua model baharu iaitu ORA 5 HEV (hibrid elektrik) dan HAVAL H7 Hi4 PHEV sebagai sebahagian daripada pengembangan portfolio kenderaannya.
Kedua-dua model itu masih dipamerkan di KLIMS 2026 yang berlangsung dari 12 hingga 21 Jun di MITEC dengan harga, ketersediaan dan spesifikasi akhir akan diumumkan selepas pengesahan rasmi.

Selain pengembangan produk, GWM Malaysia turut mengukuhkan strategi “Go with Local, Grow with Malaysia” yang memberi fokus kepada pengembangan operasi tempatan dan pembangunan ekosistem automotif negara.
Strategi ini termasuk usaha meningkatkan aktiviti pemasangan tempatan serta menjadikan Malaysia sebagai hab pengeluaran dan eksport untuk model pemanduan sebelah kanan di rantau ini.
Menurut Roslan, Malaysia memainkan peranan penting dalam rangkaian operasi serantau GWM, termasuk sebagai pusat eksport untuk pasaran Asia Tenggara.
“Eksport model WEY G9 Hi4 PHEV yang dipasang secara tempatan ke Thailand membuktikan peningkatan peranan Malaysia dalam rantaian pengeluaran global syarikat itu.
“Dalam masa sama, GWM terus memberi tumpuan kepada pembangunan teknologi milik sendiri, khususnya sistem Hybrid Intelligent 4WD (Hi4),” katanya.
Teknologi Hi4 direka untuk menawarkan prestasi pacuan empat roda hibrid yang lebih cekap, tetapi pada kos lebih rendah berbanding sistem pacuan empat roda konvensional.
Roslan berkata, walaupun GWM bekerjasama dengan pelbagai rakan teknologi, syarikat itu tetap mengadaptasi dan mempertingkatkan teknologi tersebut dalam ekosistemnya sendiri.
Ini membolehkan GWM mengekalkan kawalan terhadap kualiti, harga dan kos, selain memastikan pengguna mendapat teknologi yang lebih kompetitif.
Secara keseluruhan, GWM Malaysia terus memberi fokus kepada pertumbuhan jualan, pengembangan operasi tempatan dan inovasi teknologi sebagai strategi utama untuk mengukuhkan kedudukan dalam pasaran automotif Malaysia menjelang 2026. – BERNAMA








