Mesiniaga peroleh kontrak pembaharuan lesen perisian 3 tahun bernilai RM43 juta daripada Maybank | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Mesiniaga peroleh kontrak pembaharuan lesen perisian 3 tahun bernilai RM43 juta daripada Maybank

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 12 Jun – Mesiniaga Berhad memperoleh pembaharuan kontrak langganan lesen bernilai RM43.28 juta daripada Maybank Shared Services Sdn Bhd bagi tempoh tiga tahun yang mengukuhkan aliran pendapatan berulang syarikat sehingga 2029.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Mesiniaga berkata, perjanjian itu dimeterai pada 11 Jun 2026 dan melibatkan pembaharuan langganan lesen yang akan berkuat kuasa sehingga 31 Mei 2029.

 

Menurut syarikat itu, nilai keseluruhan kontrak berkenaan adalah RM43.28 juta termasuk Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebanyak 8%.

 

Mesiniaga bagaimanapun tidak mendedahkan secara terperinci jenis lesen atau penyelesaian teknologi yang terlibat di bawah kontrak tersebut.

 

Pembaharuan itu mencerminkan keyakinan berterusan pelanggan terhadap keupayaan Mesiniaga dalam menyediakan penyelesaian teknologi maklumat serta perkhidmatan sokongan yang diperlukan bagi operasi perniagaan.

 

Syarikat itu berkata, kontrak berkenaan tidak mempunyai klausa pembaharuan automatik dan akan tamat pada 31 Mei 2029 melainkan dipersetujui sebaliknya oleh kedua-dua pihak.

 

Menurut Mesiniaga, risiko utama yang berkaitan dengan kontrak itu melibatkan pematuhan terhadap tahap perkhidmatan serta garis masa yang ditetapkan oleh pelanggan.

 

Bagaimanapun, syarikat menegaskan pihaknya telah mengambil langkah-langkah sewajarnya bagi mengurangkan risiko tersebut dan memastikan pelaksanaan kontrak berjalan lancar sepanjang tempohnya.

 

Lembaga Pengarah Mesiniaga berpendapat kontrak berkenaan adalah sebahagian daripada urusan perniagaan biasa syarikat serta berada dalam kepentingan terbaik kumpulan.

 

Selain itu, syarikat menjangkakan kontrak tersebut akan menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026 serta tahun-tahun berikutnya sehingga kontrak selesai. - DagangNews.com