Johor Tech Smart City dijangka cipta 10,000 peluang pekerjaan - Onn Hafiz | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Johor Tech Smart City dijangka cipta 10,000 peluang pekerjaan - Onn Hafiz

JOHOR BAHRU 12 Jun - Pembangunan Johor Tech Smart City yang terletak dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dijangka mewujudkan kira-kira 10,000 peluang pekerjaan sekali gus memperkukuh kedudukan Johor sebagai hab pelaburan, teknologi dan inovasi serantau.

 

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, projek berimpak tinggi yang dibangunkan oleh Genting Property itu merupakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha menjadikan Johor sebuah negeri maju menerusi agenda Maju Johor 2030.

 

Menurut beliau, kerajaan negeri telah mengambil langkah awal bagi memastikan keperluan tenaga kerja berkemahiran tinggi untuk projek tersebut dapat dipenuhi menerusi kerjasama pelbagai pihak berkepentingan.

 

“Apabila projek ini siap kelak, ia memerlukan tenaga kerja seramai 10,000 orang dan bagi memenuhi keperluan itu, kita mempunyai Majlis Pembangunan Bakat Johor.

 

“Di sinilah semua agensi persekutuan dan negeri, universiti serta institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bergabung bagi memastikan isu bakat tidak menjadi masalah di Johor,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Johor Tech Smart City hari ini.

 

Beliau berkata, projek itu dijangka membuka peluang pekerjaan dalam sektor bernilai tinggi termasuk kecerdasan buatan (AI), pertanian pintar (smart agriculture) dan penyelidikan teknologi.

 

Pembangunan berkeluasan 930.8 hektar atau kira-kira 2,300 ekar itu menggabungkan Kampus AgTech dan Kampus AI Pengetahuan dalam satu ekosistem bersepadu yang memberi tumpuan kepada teknologi masa hadapan, keselamatan makanan dan inovasi digital.

 

Onn Hafiz berkata, selain menarik pelaburan asing dan syarikat teknologi global, pembangunan tersebut perlu turut memberi manfaat kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan.

 

“Menerusi ekosistem yang sedang dibangunkan di Johor ini, anda perlu memastikan PKS di Johor turut berkembang maju apabila syarikat-syarikat dari China memasuki negeri ini.

 

“Ketika kita mengalu-alukan syarikat China ke Johor serta rakan-rakan dari Singapura, PKS tempatan tidak boleh diketepikan,” katanya.

 

Beliau berkata, Johor kini berada pada kedudukan strategik untuk menarik lebih banyak pelaburan berkualiti susulan pelaksanaan JS-SEZ yang dilihat mampu merangsang pertumbuhan ekonomi negeri secara menyeluruh.

 

Menurutnya, pembangunan Johor Tech Smart City selari dengan aspirasi Maju Johor 2030 yang bertujuan menjadikan negeri itu sebagai pusat utama pelaburan, teknologi, inovasi dan pembangunan modal insan di rantau ini.

 

Pada masa sama, beliau menyeru rakyat Johor agar terus memberikan sokongan kepada usaha pembangunan yang sedang dilaksanakan kerajaan negeri.

 

“Kita baru berada pada fasa pertama perjalanan yang ingin dicapai.

 

“Sama ada kita dapat memasuki fasa kedua atau merealisasikan visi besar yang kita impikan bergantung kepada keputusan rakyat Johor dalam beberapa minggu akan datang,” katanya merujuk kepada Pilihan Raya Negeri Johor ke-16 yang dijadual berlangsung pada 11 Julai ini. - DagangNews.com