KUALA LUMPUR 12 Jun – Nilai jualan sektor pembuatan Malaysia meningkat 9.1% tahun ke tahun kepada RM175 bilion pada April 2026, dipacu pertumbuhan kukuh subsektor elektrik dan elektronik (E&E) serta pemulihan beberapa subsektor utama lain.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berkata, prestasi itu mengatasi pertumbuhan 5.3% yang direkodkan pada Mac 2026, sekali gus mencerminkan momentum yang lebih kukuh dalam aktiviti perkilangan negara.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, subsektor produk E&E terus menjadi penyumbang utama dengan pertumbuhan 13.4% pada April berbanding 13.3% pada bulan sebelumnya.
Menurut beliau, prestasi sektor itu turut disokong oleh subsektor makanan, minuman dan tembakau yang berkembang 9.0%, selain subsektor petroleum, kimia, getah dan plastik yang meningkat 4.4%.
“Pertumbuhan ini jauh lebih baik berbanding Mac 2026 apabila subsektor makanan, minuman dan tembakau berkembang 7.8%, manakala subsektor petroleum, kimia, getah dan plastik menguncup 5.1%.
“Dari segi bulan ke bulan, nilai jualan sektor pembuatan meningkat 1.1% kepada RM175 bilion berbanding RM173.1 bilion pada Mac 2026,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd. Uzir berkata, industri berorientasikan eksport yang menyumbang 70.6% daripada jumlah jualan sektor pembuatan mencatatkan pertumbuhan 9.6% berbanding 6.5% pada bulan sebelumnya.
Prestasi itu diterajui oleh segmen pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal yang berkembang 15.0%, diikuti pembuatan minyak dan lemak sayuran serta haiwan yang meningkat 11.0%.
Pada masa sama, pembuatan kok dan produk petroleum bertapis kembali mencatat pertumbuhan 5.3% selepas menguncup 2.8% pada Mac.
Perbandingan Bulanan
Bagaimanapun, dari segi perbandingan bulanan, nilai jualan industri berorientasikan eksport susut 0.5%.
Sementara itu, industri berorientasikan domestik menunjukkan peningkatan lebih ketara dengan pertumbuhan 7.8% berbanding hanya 2.5% pada Mac.
Menurut DOSM, prestasi itu didorong oleh pertumbuhan produk pemprosesan makanan yang meningkat 5.8%, selain produk mineral bukan logam lain dan logam asas yang masing-masing berkembang 8.8% dan 6.4%.
“Berdasarkan bulan ke bulan, industri berorientasikan domestik berkembang 5.1%,” katanya.
Dari sudut pasaran pekerjaan, sektor pembuatan menggaji 2.4 juta pekerja pada April 2026, meningkat 1.2% berbanding tempoh sama tahun lalu.
Peningkatan guna tenaga itu didorong oleh subsektor makanan, minuman dan tembakau yang mencatat pertumbuhan 2.2%, diikuti produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam fabrikasi sebanyak 1.7%, serta subsektor E&E sebanyak 1.5%. - BERNAMA








