Insken lancar kampus di Sabah untuk tarik lebih ramai usahawan sertai program latihan | DagangNews Skip to main content

Insken lancar kampus di Sabah untuk tarik lebih ramai usahawan sertai program latihan

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 30 Mei - Institut Keusahawanan Negara Berhad (Insken) membuka pejabat cawangan pertamanya yang dikenali sebagai Kampus Insken di Sabah. 

 

Pembukaan kampus itu juga sebagai usaha untuk menarik lebih ramai usahawan menyertai program latihan dan bimbingan anjuran Insken. 

 

Tambahan pula, Insken turut memandang kepentingan untuk tidak mengetepikan usahawan di Sabah yang harus dibantu sama seperti usahawan di Semenanjung Malaysia.

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Muhd Firdaus Azharuddin berkata, usahawan Sabah sentiasa memberi sokongan padu kepada institut berkenaan. 

 

"Ini merupakan langkah yang tepat agar usahawan Sabah mendapat akses lebih mudah dan cepat untuk bertemu, berkomunikasi serta mendapatkan bantuan latihan dan bimbingan daripada Insken," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Terdahulu, pejabat baharu itu dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.

 

Selain ruangan pejabat, ia juga dilengkapi dengan bilik latihan yang boleh memuatkan 30 peserta bagi setiap program.

 

 

insken
Datuk Ewon Benedick ketika merasmikan pembukaan pejabat cawangan baharu yang dikenali sebagai Kampus Insken di Penampang, Sabah pada 20 Mei 2023.

 

 

insken
Muhd Firdaus Azharuddin ketika berucap pada majlis perasmian Kampus Insken di Sabah.

 

Insken berhasrat ingin memudahkan usahawan di Sabah yang tidak mempunyai kelengkapan IT dengan menyediakan ruangan kerja, komputer dan mesin pencetak untuk digunakan.

 

Kampus Insken Sabah beroperasi dari Isnin hingga Jumaat bermula pukul 8.30 pagi hingga 5.30 petang. 

 

 

insken

 

 

Selain secara dalam talian, usahawan di Sabah juga digalakkan untuk ke Kampus Insken (Sabah) yang terletak di Lot 10, Wisma IDS, Penampang, Sabah untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai program latihan dan bimbingan anjuran Insken. - DagangNews.com