KUALA LUMPUR 8 Julai — Pelaksanaan projek perintis MediAsas pada penghujung Julai 2026 dilihat berpotensi memperluaskan akses kepada perlindungan perubatan lebih mampu milik kepada rakyat.
Justeru RHB Research mengekalkan penarafan 'overweight' terhadap sektor penjagaan kesihatan, meskipun pengendali hospital swasta masih berdepan cabaran kos operasi dan perubahan struktur pembayaran.
Firma penyelidikan itu berkata, skim ini dijangka menjadi pemangkin penting transformasi kesihatan swasta, terutama ke arah sistem pembayaran khusus yang berasaskan 'Diagnosis-Related Groups (DRG).
"Program perintis ini akan berlangsung selama tempoh tiga bulan sehingga Oktober 2026 di Lembah Klang sebelum diperluaskan ke seluruh negara bermula Januari 2027," jelasnya dalam nota analisis.
RHB Research berkata, MediAsas merupakan pelan asas Insurans/Takaful Perubatan dan Kesihatan (MHIT) yang diperkenalkan bagi meningkatkan kemampuan rakyat mendapatkan perlindungan kesihatan.
Usaha terbaharu berkenaan ujarnya, membantu pengguna dengan model pembayaran rawatan yang lebih cekap diwujudkan, melibatkan dua produk diperkenalkan iaitu MediAsas Teras dan MediAsas Fleksi.

Tambahnya, skim itu menawarkan premium bulanan secara indikatif antara RM60 hingga RM550 bagi individu sehingga umur 70 tahun, manakala perlindungan diberikan sehingga mereka berusia 85 tahun.
"Program perintis ini melibatkan enam syarikat insurans dan pengendali takaful termasuk Prudential BSN Takaful Berhad, Etiqa serta Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad," kata RHB Research.
Antara ciri utama pelan itu ialah mekanisme pembayaran bersama dua peringkat, iaitu bagi hospital panel Tier 1 dan hospital Tier 2 yang akan dihadkan sehingga RM3,000 untuk setiap kes direkodkan.
Firma penyelidikan tersebut bagaimanapun berpandangan, hospital yang tidak tersenarai sebagai panel pilihan MediAsas kemungkinan besar akan berdepan dengan tekanan terhadap jumlah pesakit.
Sementara hospital premium jelas RHB Research, perlu menawarkan pakej standard dan cekap kos susulan kadar harga ditetapkan berdasarkan kos hospital swasta kategori rendah hingga pertengahan.
"Sehubungan itu, kami percaya KPJ Healthcare Berhad berada di kedudukan terbaik memanfaatkan MHIT dan DRG kerana memiliki rangkaian hospital komuniti dan hospital sekunder yang luas," jelasnya.
Ia namun mengingatkan sektor penjagaan kesihatan berdepan risiko utama termasuk peningkatan kos operasi yang melebihi jangkaan, dan pertumbuhan jumlah pesakit yang lebih perlahan. - DagangNews.com








