Pembinaan Jambatan Sejingkat di Kuching kini 94% siap dijangka dibuka Oktober ini | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pembinaan Jambatan Sejingkat di Kuching kini 94% siap dijangka dibuka Oktober ini

Pemandangan udara projek pembinaan Jambatan Sejingkat di Kuching - Gambar JKR Sarawak
Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 8 Julai – Projek Jambatan Sejingkat sepanjang 1.2 kilometer kini mencapai 94 peratus siap dan dijangka siap lebih awal daripada jadual, sekali gus menjadi pencapaian penting dalam memperkukuh hubungan pengangkutan di Sarawak.

 

Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak (Pembangunan Infrastruktur), Datuk Aidel Lariwoo berkata, projek berkenaan kini mendahului jadual sebanyak 1 peratus dan dijangka siap pada awal Oktober tahun ini.

 

“Tarikh siap asal ialah 22 Oktober, jadi kita sedikit mendahului jadual,” katanya kepada pemberita ketika melakukan lawatan tapak ke projek Jambatan Sejingkat pada Selasa.

 

Beliau berkata, baki kerja yang perlu disiapkan membabitkan pembinaan jalan raya, khususnya laluan pendekatan di kedua-dua bahagian Sejingkat dan Tanjung Bako.

 

“Bahagian Tanjung Bako hampir siap, manakala kerja di bahagian Sejingkat masih berjalan,” katanya.


 

sejingkat

 

sejingkat
Gambar UKAS SARAWAK

 

Hubungkan Sejingkat dengan rangkaian Jalan Utama Kedua Sarawak

Aidel berkata, Jambatan Sejingkat merupakan komponen penting dalam projek Jalan Utama Kedua Sarawak yang akan menghubungkan Sejingkat, Kuching dengan rangkaian jalan raya utama berkenaan.

 

Beliau berkata, jambatan itu dibina mengikut piawaian jalan raya R5, dengan reka bentuk laluan berkembar yang mempunyai dua lorong bagi setiap arah.

 

Menurut beliau, jambatan berkenaan akan menjadi penghubung utama kepada pengguna jalan raya dari kawasan pesisir dan pedalaman Sarawak yang menuju ke Kuching, dengan kapasiti anggaran sehingga 15,000 kenderaan sehari apabila siap sepenuhnya.

 

Selain meningkatkan kesalinghubungan pengangkutan, projek itu turut menyokong pembangunan masa depan di Tanjung Embang, termasuk cadangan pembinaan lapangan terbang baharu Kuching serta pelabuhan laut dalam.

 

Sokong pembangunan Tanjung Embang

Aidel berkata, kerajaan Sarawak turut merancang pembangunan rangkaian jalan raya tambahan dari kawasan berkenaan, termasuk laluan menghubungkan Batu Belak, Lubak, Tanjung Embang dan Tanjung Selang.

 

Sementara itu, beliau berkata cadangan projek Jambatan Batu Belak telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), dengan peruntukan hampir RM300 juta.

 

“Pembangunan infrastruktur di kawasan ini akan menyokong pertumbuhan masa depan, termasuk pembangunan lapangan terbang baharu dan pelabuhan laut dalam di Tanjung Embang, Asajaya serta Sadong Jaya,” katanya. - DagangNews.com