Inisiatif iTEKAD sejajar dengan Pelan Sektor Kewangan 2022-2026, tingkatkan kesejahteraan kewangan isi rumah dan perniagaan | DagangNews Skip to main content

Inisiatif iTEKAD sejajar dengan Pelan Sektor Kewangan 2022-2026, tingkatkan kesejahteraan kewangan isi rumah dan perniagaan

Gabenor Bank Negara, Datuk Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Ogos - Inisiatif iTEKAD yang diperkenalkan Bank Negara Malaysia (BNM) adalah sejajar dengan teras strategik Pelan Sektor Kewangan 2022-2026 bagi meningkatkan kesejahteraan kewangan isi rumah dan perniagaan.

 

Bank pusat itu dalam satu kenyataan berkata, inisiatif itu diperkenalkan sewaktu pandemik bagi membantu usahawan mikro berpendapatan rendah memantapkan pengurusan kewangan dan kepintaran berniaga mereka untuk menjana pendapatan yang mampan. 

 

Katanya, iTEKAD menggabungkan dana dermawan dan dana komersial dalam bentuk kewangan campuran untuk memberikan latihan berstruktur, modal permulaan dan pembiayaan mikro kepada segmen sasaran.

 

"Setakat Mei 2023, lebih 3,000 usahawan mikro telah mendapat manfaat daripada program ini menerusi daya tahan kewangan yang lebih kukuh. 

 

"Pada masa yang sama, banyak peserta telah mewujudkan peluang pekerjaan serta menyediakan peluang ekonomi dalam komuniti masing-masing," katanya.

 

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucaptama Majlis Jalinan Kerjasama iTEKAD di Sasana Kijang hari ini dan turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Na'im Mokhtar; Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan serta Gabenor Bank Negara, Datuk Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour.

 

BACA JUGA: PM Anwar: Kerajaan peruntuk RM10 juta bantuan usahawan mikro berpendapatan rendah melalui iTEKAD

 

BNM berkata, sehingga kini, iTEKAD mempunyai 11 institusi kewangan peserta dengan penyertaan dari seluruh negara serta lebih 50 rakan pelaksana. 

 

Katanya, Institusi kewangan peserta terdiri daripada Bank Islam Malaysia Berhad, CIMB Islamic Bank Berhad, Bank Muamalat Malaysia Berhad, Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad, Agrobank, Bank Simpanan Nasional, RHB Islamic Bank Berhad, AmBank Islamic Berhad, SME Bank, Public Islamic Bank dan Maybank Islamic Berhad. 

 

Rakan pelaksana baharu pula termasuk Koperasi Usahawan Serikandi Johor (KUSERI), Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STEP), Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) dan MADCash Sdn. Bhd. 

 

"Rangkaian pihak berkepentingan yang lebih luas akan meningkatkan pembiayaan, akses kepada pasaran dan pemantauan impak ke arah mempertingkatkan tahap ekonomi usahawan-usahawan mikro di Malaysia. 

 

"Menjelang akhir tahun ini, institusi kewangan peserta bersama-sama denganrakan pelaksana masing-masing telah memberikan komitmen untuk mendapatkan penyertaan lebih 4,000 peserta iTEKAD," katanya.

 

Pihak berkepentingan, termasuk badan korporat daripada sektor awam dan swasta, digalakkan menghubungi mana-mana institusi kewangan peserta untuk menyertai inisiatif iTEKAD. - DagangNews.com