Malakoff luaskan sayap kepakaran Operasi dan Penyelenggaraan loji janakuasa ke Bangladesh | DagangNews Skip to main content

Malakoff luaskan sayap kepakaran Operasi dan Penyelenggaraan loji janakuasa ke Bangladesh

Malakoff Technical Solutions membentuk kerjasama dengan China Northeast Electric Power Engineering & Services Co. Ltd bagi membekalkan tenaga kerja O&M Loji Janakuasa Kitar Padu di Bangladesh. /Gambar hiasan Malakoff
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 29 April - Malakoff Technical Solutions Sdn Bhd (MTSSB) membentuk kerjasama dengan China Northeast Electric Power Engineering & Services Co. Ltd (NEPCS) bagi membekalkan tenaga kerja Operasi dan Penyelenggaraan (O&M) Loji Janakuasa Kitar Padu (CCPP) di Bangladesh. 

 

Menurut Malakoff Corporation Berhad (Malakoff), ia melibatkan tiga buah loji janakuasa di Bangladesh dengan kapasiti keseluruhan kira-kira 1,500 Megawatt (MW).

 

Katanya, melalui penerimaan surat anugerah (LoA) dari NEPCS, Malakoff akan memanfaatkan kepakaran yang telah diperolehi selama puluhan dekad dalam O&M CCPP.

 

"Ini merupakan penglibatan pertama dalam projek O&M H-class yang membolehkan Malakoff memperluaskan kepakaran dalam teknologi ini dan seterusnya menerokai peluang bagi memenuhi permintaan CCPP yang semakin meningkat di Malaysia," katanya dalam kenyataan media hari ini.

 

Jelas Malakoff, H-Class adalah teknologi terkini dalam turbin gas dengan kemajuaan kejuruteraan yang begitu signifikan untuk mengurangkan pelepasan karbon dan berupaya memenuhi keperluan penjanaan tenaga yang moden lagi fleksibel. 

 

"Usaha dan penglibatan Malakoff dengan teknologi H-Class adalah selari dengan komitmennya untuk memaksimumkan kecekapan operasi dan tenaga, selaras dengan sasaran negara untuk mencapai Pelepasan Karbon Sifar Bersih menjelang 2050," kata syarikat itu.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Rangka kerja kewangan mampan: Malakoff terima penilaian impak Emas daripada MARC Ratings
 

 

Sementara itu, Pengarah Urusan & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakoff, Anwar Syahrin Abdul Ajib berkata, kerjasama ini merupakan bukti komitmen Malakoff dalam memperluaskan kepakaran teknikalnya ke peringkat antarabangsa, sambil terus meningkatkan lagi kecemerlangan operasinya.

 

"Kami mempunyai kepakaran serta kemahiran, dan tumpuan kami dalam O&M adalah untuk menjalinkan kerjasama strategik bagi terus meningkatkan daya saing serta mengoptimumkan prestasi perniagaan kami. 

 

"Tahun lalu, walaupun penuh dengan cabaran, kami masih berjaya membekalkan 28.2 TWh tenaga elektrik ke Grid Nasional, berbanding dengan 26.3 TWh yang dibekalkan pada tahun 2022, walaupun operasi Loji Janakuasa GB3 telah ditamatkan," ujarnya.

 

Tambah Anwar Syahrin, ini membuktikan komitmen Malakoff kepada kecekapan operasi bagi memastikan operasi yang lancar dan tidak terganggu.

 

LOGO

 

"Saya yakin bahawa dengan menghantar tenaga kerja kami ke projek CCPP di Bangladesh ini, kami akan memastikan prestasi loji ini ditahap terbaik, malah akan turut memberi pendedahan yang bernilai kepada mereka dengan teknologi terkini ini. 

 

"Pengalaman ini sudah pasti akan memberi inspirasi untuk mereka mendalami tentang penyelesaian inovatif untuk mengurangkan pelepasan karbon dalam loji jankuasa termal," katanya.

 

Perkongsian ini sejajar dengan tonggak perniagaan yang baru ditubuhkan oleh Malakoff iaitu Malakoff Energy yang berfungsi untuk memastikan bekalan tenaga yang boleh berdaya-harap serta cekap kos melalui perkhidmatan pengurusan tenaga berkualiti di samping menjaga aspek pemuliharaan dan keberkesanan tenaga. 

 

Malakoff Energy merupakan salah satu daripada tiga tonggak perniagaan strategik Malakoff, bersama-sama dengan Malakoff Green Solutions dan Malakoff Environmental Solutions, yang membentuk asas operasi Malakoff. 

 

Ketiga-tiga tonggak perniagaan itu menekankan komitmen Malakoff kepada kemampanan, inovasi dan kecemerlangan. 

 

MTSSB pakar dalam menyampaikan perkhidmatan O&M yang komprehensif kepada industri loji janakuasa sejak tahun 1993, di mana ia telah memperluaskan rangkaian pelanggannya selama bertahun-tahun, yang terdiri daripada anak-anak syarikat dalam Malakoff dan syarikat luar dari pelbagai industri.

 

Ini seperti Kemudahan Unit Pusat PETRONAS di Malaysia, Loji Janakuasa Kecemasan Azzour Selatan di Kuwait dan Loji Janakuasa Arang Batu Merak di Indonesia.

 

Setakat ini, Malakoff memiliki 21% kapasiti penjanaan di Semenanjung Malaysia. - DagangNews.com