Kenanga Research ramal prospek cerah pengeluar paip susulan peningkatan projek NRW, penurunan harga keluli | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research ramal prospek cerah pengeluar paip susulan peningkatan projek NRW, penurunan harga keluli

Permintaan paip dijangka meningkat susulan pengukuhan projek mengatasi NRW selaras penambahan aliran tunai operator bekalan air. Gambar hiasan Engtex
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 29 April - Bagi pengguna, tarif air domestik baharu yang dilaksanakan mulai Februari 2024 merupakan satu lagi tambahan perbelanjaan bulanan buat mereka.

 

Namun bagi syarikat pembuat paip, kenaikan tarif air bakal meningkatkan permintaan untuk bahan tersebut selaras penambahan aliran tunai syarikat pengendali air yang membolehkan pelaksanaan pelbagai program perbelanjaan modal (Capex).

 

Menurut Kenanga Research, perbelanjaan Capex syarikat operator air ini termasuk penggantian paip bagi inisiatif pengurangan air bukan hasil (NRW).

 

"Ini akan menjadi tambahan kepada peruntukan yang besar untuk program penggantian paip di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12).

 

"Permintaan terhadap paip air juga akan didorong oleh pembangunan Skim Bekalan Air Sungai Rasau Fasa 2 di Selangor," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Tarif air naik purata 22 sen semeter padu di Semenanjung dan Labuan mulai 1 Februari 2024 - Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN)

 

engtex building

 

Sehubungan itu, menurut Kenanga Research, pembuat paip kini berada dalam tempoh masa yang baik dengan Engtex Group Berhad (Engtex) menjadi pilihan mengenai jangkaan permintaan tinggi untuk paip air berikutan kenaikan tarif domestik.

 

"Engtex berpotensi besar dalam pasaran penggantian paip air tempatan dan kedudukannya dominan dalam pasaran paip keluli lembut (MS) berdiameter besar dan paip besi mulur (DI).

 

"Pendapatannya dilihat kukuh disokong oleh pesanan tertunggak yang ketara dan projek baharu saluran paip yang kukuh," jelasnya.

 

Kenanga Research juga memberikan saranan Outperform kepada Engtex dengan harga sasaran (TP) RM1.41 sesaham, 51.6% lebih tinggi daripada harga dagangan terakhir minggu lalu.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Inflasi makanan di luar rumah diramal terus naik akibat kos operasi, utiliti - MIDF Research

 

Sementara itu, firma penyelidikan itu juga melihat margin keuntungan yang lebih baik buat pembuat paip kerana harga keluli global dan tempatan telah turun.

 

Katanya, ini bermakna pembuat paip tidak akan dibebani oleh inventori keluli kos tinggi yang berlaku apabila harga keluli berada dalam aliran menurun yang berterusan.

 

"Sebagai contoh, pada Mac 2024, harga keluli panjang tempatan merosot sedikit kepada RM2,766/tan (-2% MoM) manakala harga keluli rata tempatan meningkat sehingga RM3,164/tan (+1% MoM)," jelasnya. - DagangNews.com