Mindef, GEC sasar jadikan LIMA 2025 penganjuran terbaik bangunkan industri pertahanan | DagangNews Skip to main content

Mindef, GEC sasar jadikan LIMA 2025 penganjuran terbaik bangunkan industri pertahanan

LIMA menjadi pameran aeroangkasa dan maritim bertaraf antarabangsa terunggul.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 29 April - Setelah menjadi penganjuran paling berjaya dalam edisinya tahun lalu, Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LlMA) terbaharu tahun depan mempunyai cabaran tersendiri.

 

Dijadual berlangsung pada 20 hingga 24 Mei, ia merupakan anjuran bersama Kementerian Pertahanan Malaysia (Mindef) dengan Global Exhibitions and Conferences Sdn Bhd (GEC).

 

Pada edisi tahun 2023, LIMA dianjurkan Mindef dan Kementerian Pengangkutan dengan kerjasama Alpine Solutions Sdn. Bhd.

 

Edisi ini berjaya menarik 525 pempamer mewakili 140 syarikat dari seluruh dunia berbanding edisi 2019.

 

Lima

 

Pameran juga disertai 119 pesawat yang menyertai pameran statik dan aerobatik, selain 40 kapal tentera laut dari dalam dan luar negara.

 

 

LIMA '23 menyaksikan beberapa memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani untuk kedua-dua sektor pertahanan dan komersial, bernilai mencecah RM18 bilion.

 

Bagi Mindef sahaja sebanyak RM10 billion kontrak dan MoU dimeterai manakala selebihnya membabitkan kementerian lain termasuk Kementerian Pengangkutan dan agensi-agensi.

 

Tahun depan merupakan edisi ke-17 LIMA sejak mula diadakan pada tahun 1991 di Langkawi yang diilhamkan oleh Perdana Menteri ketika itu, Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad untuk membangunkan industri aeroangkasa negara.

 

Lima
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari (dua dari kiri) dan Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Mohammad Ab Rahman (kiri) semasa melancarkan LIMA 2025 di Kuala Lumpur.
 

 

Bermula detik tersebut, negara secara perlahan-lahan mula meneroka bidang kemahiran baharu khususnya dalam penyelenggaraan pesawat udara.

 

Kemajuan ini juga membabitkan penubuhan institusi pendidikan dan kemahiran yang menawarkan bidang kejuruteraan aeroangkasa.

 

Bertemakan ‘Inovasi Hari Ini, Kemajuan Esok’, LIMA 2025 mengetengahkan kepentingan pemain-pemain industri untuk sentiasa berinovasi dan meningkatkan daya saing, seiring dengan perkembangan teknologi yang kian pesat.

 

Difahamkan ia telah mendapat sambutan awal yang menggalakkan oleh syarikat dari dalam dan luar negara, walaupun LIMA 2025 baru sahaja dilancarkan. 

 

Ini membuktikan bahawa LIMA adalah sebuah acara yang dinanti-nantikan oleh pemain tempatan dan antarabangsa dalam industri aeroangkasa dan maritim.

 

Lima
Kehadiran pesawat aerobatik menjadi tarikan LIMA.

 

Lima

 

Bagi memastikan kejayaan penganjuran LIMA 2025, GEC telah menjalinkan kolaborasi strategik dengan beberapa entiti bagi memikat penyertaan pempamer.

 

Antaranya bersama Arabian World Events, QUBE Integrated Malaysia Sdn Bhd, SHP Media Sdn Bhd, Curio Pack Sdn Bhd, Malaysian Aerospace Industry Association (MAIA) dan Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MiGHT). 

 

GEC bersama dengan rakan strategik lain meneroka potensi untuk membawa LIMA 2025 pada tahap yang mampu memberikan impak positif kepada negara dan juga industri.

 

Selain daripada pameran sedia ada, LIMA 2025 akan mengetengahkan beberapa segmen baru bagi menarik lebih banyak penyertaan daripada perusahaan-perusahaan kecil dan sederhana berkaitan.

 

Ini untuk membuka ruang kepada pemain sektor tersebut menjadi sebahagian daripada pempamer LIMA 2025 bagi kedua-dua segmen aeroangkasa dan maritim. 

 

Lima
Pameran statik aset ketenteraan memberi peluang pengunjung mengetahui lebih mendalam tentang perolehan pertahanan.

 

Lima

 

Begitu juga penyertaan daripada institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang memiliki kepakaran industri aeroangkasa dan maritim untuk menyertai Pameran LIMA 2025. 

 

Ini adalah hasrat dan inisiatif Mindef untuk menjadikan LIMA sebagai sebuah pusat perkembangan industri dan pembangunan sumber manusia.

 

Mindef juga akan bekerjasama rapat dengan GEC sebagai penganjur bersama untuk memastikan LIMA 2025 sebuah acara berprestij.

 

Lima
Sebuah helikopter APMM mempamerkan keupayaan semasa pertunjukan udara.

 

Dengan beberapa senarai bagi perolehan baharu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang masih tertangguh, LIMA pasti akan menarik kehadiran pemain industri pertahanan untuk merebut kontrak tersebut.

 

Tidak terkecuali Malaysia, pemodenan pertahanan juga giat dilakukan negara-negara serantau yang mana LIMA menjadi platform pemasaran terbaik kepada industri. - DagangNews.com