KUALA LUMPUR 19 April - Hospital UCSI telah memeterai kerjasama baharu dengan tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mewujudkan serta mengekalkan asas kerjasama dalam industri penjagaan kesihatan.
Memorandum persefahaman (MoU) tersebut melibatkan tiga NGO di Negeri Sembilan iaitu Rotary Club Seremban Gateway, Malaysia Hindu Sangam Negeri Sembilan dan Persatuan Usahawan Maju Malaysia (PUMM), di mana mereka akan meneroka peluang perniagaan baharu melalui pertukaran idea serta kolaborasi.
MoU itu ditandatangani oleh Pengasas merangkap Pengerusi Eksekutif Kumpulan UCSI, Datuk Peter Ng; Naib Presiden Rotary Club Seremban Gateway, Datuk Kanagarajah Raman; Pengerusi Malaysia Hindu Sangam (MHS) Negeri Sembilan, Dr A. Gopi Sivachariar dan Pengerusi PUMM Negeri Sembilan, Timothy Teo.
Sebagai penyedia perkhidmatan perubatan swasta, Peter Ng berkata Hospital UCSI akan berterusan memberi manfaat kepada komuniti dan mahu memberi nafas baharu kepada pesakit yang menghidap penyakit kronik.
“Kami amat berharap MoU ini akan mengukuhkan reputasi Hospital UCSI sebagai institusi perubatan pilihan orang ramai dari dalam dan luar Negeri Sembilan,” katanya.
Sementara itu, Kanagarajah berkata Rotary Club of Seremban Gateway yang merupakan sebuah kelab kebajikan dan sosial yaking untuk berkerjasama dengan hospital tersebut dalam semua aspek perubatan termasuk perubatan pelancongan dan perubatan tempatan.
Manakala Dr A. Gopi berkata dengan lebih 7,000 ahli di bawah NGO beliau, terdapat sebilangan besar ahli dalam kalangan M40 yang memberi insuran perubatan atau kombinasi kedua-dua kumpulan ini mempunyai perlindungan insurans perubatan daripada majikan mereka.
“MHS mengharapkan kerjasama ini dengan UCSI akan memberi manfaat dan mencipta nilai untuk ahli kami secara amnya,” tambahnya.
Timothy Teo pula berkata pihaknya berbesar hati terhadap sokongan dan komitmen yang tidak berbelah bahagi Hospital UCSI dalam mengiktiraf sumbangan serta kesejahteraan ahli PUMM.
“Melalui kerjasama ini kami percaya Hospital UCSI mampu menyediakan perkhidmatan perubatan terbaik kepada ahli kami termasuk rundingan perubatan, rawatan dan kemudahan penjagaan kesihatan lain,” katanya.
Untuk rekod, UCSI merupakan hospital pertama di Negeri Sembilan yang menyediakan perkhidmatan pembedahan kardiotorasik dengan melancarkan Unit Pembedahan Kardiotorasik pada tahun lalu. -DagangNews.com








