HLIB : Pasaran ambil kira 'senario terburuk' terhadap DNeX berikutan harga sahamnya susut mendadak | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

HLIB : Pasaran ambil kira 'senario terburuk' terhadap DNeX berikutan harga sahamnya susut mendadak

KUALA LUMPUR 18 Nov - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research menyemak turun harga sasaran Dagang NeXchange Bhd. (DNeX) kepada RM1.32 daripada RM1.74 sesaham sebelum ini selepas kumpulan itu memulakan proses timbang tara berhubung pertikaian dalam penjualan saham SilTerra Malaysia Sdn. Bhd. 

 

Meskipun mengekalkan saranan 'beli' terhadap syarikat teknologi global itu, tetapi ia menjangkakan harga sasarannya akan jatuh kepada 47 sen sahaja jika mengeluarkan keseluruhan penilaian SilTerra daripada DNeX.

 

Firma itu berpandangan pasaran telah mengambil kira 'senario terburuk' terhadap DNeX - merupakan hasil yang sangat tidak mungkin daripada pemilikan 60% dalam SilTerra, melanggar 55% peraturan dalam pemilikan entiti Malaysia seperti ditetapkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

 

"Namun begitu, kami mengambil peluang mengurangkan pendapatan harga SilTerra kepada 20 kali ganda daripada 30 kali ganda.

 

"Tetapi, ia masih berada pada premium kepada Taiwan Semiconductor Manufacturing Co’s (TSMC) gandaan pertengahan lima tahun sebanyak 17 kali ganda, mencerminkan kekurangan premium faundri fabrikasi wafer tersenarai di bursa saham tempatan," katanya seperti dilapor The Edge hari ini.

 

Berdasarkan laporan portal berbahasa Inggeris itu, saham DNeX susut sebanyak 30 sen atau hampir 40%, sebelum ditutup pada 50.5 sen, turun 25 sen atau 33.11% petang semalam, sekali gus mengurangkan nilai pasarannya kepada RM1.59 bilion.

 


Baca : Saham DNeX merosot lebih 30% selepas memulakan proses timbang tara berhubung pertikaian dalam penjualan saham SilTerra

 


Anak syarikat milik penuhnya, DNeX Semiconductor Sdn. Bhd. telah mengeluarkan dan memberi notis timbang tara untuk memulakan prosiding timbang tara terhadap Mimastronics Technologies Co Ltd (MIMAS), menurut maklumannya di Bursa Malaysia semalam.

 

MIMAS dimiliki sepenuhnya oleh Tethystronics Technologies Co Ltd (TTCL), sebuah syarikat tujuan khas yang dimiliki oleh Beijing Integrated Circuit Advanced Manufacturing and High-Epment Equity Investment Fund Centre (CGP), yang turut memegang 40% kepentingan ekuiti dalam SilTerra.

 

Secara dasarnya, DNeX dan CGP melalui DNeX Semiconductor dan TTCL, masing-masing telah memperoleh 60% dan 40% pegangan saham dalam SilTerra daripada Khazanah Nasional Bhd. bersasarkan perjanjian jual beli saham bertarikh 31 Mac 2021 antara DNeX, CGP dan Khazanah.

 

Menurut HLIB, sepanjang taklimat bersama penganalisis semalam berikutan permulaan prosiding timbang taranya itu, DNeX memberi panduan bahawa operasi SilTerra dan perjanjian jangka panjang tidak terjejas.

 

Malah, katanya, kumpulan menjelaskan unit tersebut menjalankan perniagaan seperti biasa dengan lesen operasinya masih utuh dan hubungan dengan CGP masih dalam keadaan baik.

 

"Kumpulan itu berpendapat bahawa tujuan timbang tara tersebut adalah cara terbaik untuk menyelesaikan kebuntuan antara DNeX dan CGP.

 

"Dengan berusaha supaya perjanjian itu diisytiharkan terbatal dan tidak sah, perkara itu akan diselesaikan, dan ini akan melindungi kepentingan pemegang saham DNeX dan SilTerra, dan mengelakkan sebarang pelanggaran syarat lesen," jelasnya.

 

Pada Mac 2021, Khazanah menjual SilTerra yang berada dalam kerugian pada masa itu kepada DNeX dan dana ekuiti yang berpangkalan di China dengan tunai RM273 juta.

 

DNeX dan CGP komited untuk melaksanakan suntikan modal sekurang-kurangnya RM200 juta dengan melanggan saham baharu yang akan diterbitkan oleh SilTerra. Berdasarkan 60% kepentingan DNeX, suntikan modal oleh DNeX akan berjumlah kira-kira RM120 juta.

 

Kedua-dua pihak berusaha untuk memilih penerbitan saham keutamaan boleh tukar tidak boleh tebus (ICPS) dalam DNeX Semiconductor, berjumlah RM100 juta, untuk diterbitkan dan dilanggan oleh MIMAS. Ini akan menyebabkan MIMAS memegang 33% kepentingan dalam DNeX Semiconductor.

 

Perkara yang menjadi pertikaian ialah sama ada kelulusan awal diperlukan daripada MITI untuk pelaburan yang dicadangkan.

 

MIMAS berpandangan bahawa kelulusan sedemikian tidak diperlukan dan mengekalkan perjanjian pemegang saham dan perjanjian langganan, kedua-duanya bertarikh 21 Januari 2022 adalah sah dan boleh dikuatkuasakan. Bagaimanapun, DNeX tidak bersetuju.

 

Malah, DNeX menjelaskan melalui surat MITI bertarikh 28 Februari 2022, DNeX dan CGP mengetahui bahawa kelulusan awal daripada MITI diperlukan berhubung pelaburan yang dicadangkan.

 

Mengulas lebih lanjut, HLIB berkata, pelanggaran peraturan 55% sangat tidak mungkin kerana tiada pelaksanaan langganan yang akan membawa kepada CGP menjadi pemegang saham dalam DNeX Semiconductor sebanyak 33.3%, justeru, tiada kemungkinan berlaku pelanggaran dalam struktur pegangan saham SilTerra.

 

"Ini, seterusnya, bermakna bahawa keputusan di mana SilTerra kehilangan lesen operasinya nampaknya tidak kesampaian," tegasnya. - DagangNews.com