Saham DNeX merosot lebih 30% selepas memulakan proses timbang tara berhubung pertikaian dalam penjualan saham SilTerra | DagangNews Skip to main content

Saham DNeX merosot lebih 30% selepas memulakan proses timbang tara berhubung pertikaian dalam penjualan saham SilTerra

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 17 Nov - Saham Dagang NeXchange Bhd. (DNeX) paling aktif diniagakan dalam penutupan petang ini selepas kumpulan dilaporkan memulakan prosiding timbang tara yang berkaitan dengan cadangan pertikaian pelaburan yang melibatkan salah satu syarikatnya.

 

Pada 5 petang ini, harga sahamnya susut 25 sen atau 33.11% kepada 50.5 sen dengan 300.33 juta saham diniagakan. 

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini, DNeX berkata, anak syarikat milik penuhnya, DNeX Semiconductor Sdn. Bhd. (DNeX Semi) telah mengeluarkan dan memberi notis timbang tara untuk memulakan prosiding timbang tara terhadap Mimastronics Technologies Co Ltd (MIMAS).

 

Ini berikutan permintaan supaya pertikaian sedemikian dirujuk kepada timbang tara mengikut Peraturan Timbang Tara Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia 2021.

 

"Namun, syarikat tidak menjangkakan sebarang kesan kewangan material disebabkan oleh permulaan prosiding timbang tara ini selain daripada tanggungan kos undang-undang.

 

"SilTerra Malaysia Sdn. Bhd. kekal sebagai anak syarikat 60% milik DNeX Semi yang seterusnya merupakan anak syarikat DNeX. Tiada kesan operasi material dijangka timbul daripada timbang tara ini," jelasnya.

 

 

dnex

 

 

MIMAS dimiliki sepenuhnya oleh Tethystronics Technologies Co Ltd (TTCL), sebuah syarikat tujuan khas yang dimiliki oleh Beijing Integrated Circuit Advanced Manufacturing and High-Epment Equity Investment Fund Centre (CGP), yang turut memegang 40% kepentingan ekuiti dalam SilTerra.

 

Secara dasarnya, DNeX dan CGP melalui DNeX Semi dan TTCL, masing-masing telah memperoleh 60% dan 40% pegangan saham dalam SilTerra daripada Khazanah Nasional Bhd. bersasarkan perjanjian jual beli saham bertarikh 31 Mac 2021 antara DNeX, CGP dan Khazanah.

 

DNeX dan DNeX Semi sedang mencari pelepasan yang diperlukan agar perjanjian langganan saham (SSA) dan perjanjian pemegang saham (SHA) yang dimeterai dengan MIMAS pada Januari tahun ini diisytiharkan terbatal dan tidak sah.

 

Pada masa sama, Bursa Malaysia turut menggantung jualan pendek sahamnya untuk sepanjang hari di bawah dagangan hari proprietari (PDT) dan jualan pendek intraday (IDSS).

 

Penggantungan itu dibuat selepas saham syarikat teknologi itu turun lebih 15 sen, atau 15% daripada harga rujukan.

 

"Jualan pendek di bawah PDT dan IDSS hanya akan diaktifkan pada hari dagangan berikutnya, iaitu Isnin, 21 November 2022 pukul 8.30 pagi," jelas Bursa Malaysia. - DagangNews.com