KUALA LUMPUR 27 Feb - Bumi Armada Bhd. kekal pilihan utama bagi Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research dalam sektor minyak dan gas (O&G) selepas kumpulan itu merekodkan prestasi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) yang memenuhi jangkaan firma.
Malah, ia mengekalkan saranan 'beli' terhadap penarafan sahamnya dengan harga sasaran tidak berubah pada 87 sen sesaham.
Pada suku keempat berakhir 31 Disember 2022, untung bersihnya meningkat 78.54% tahun ke tahun kepada RM210.68 juta didorong sumbangan yang lebih tinggi daripada FPSO Armada Kraken.
Keputusan kewangan itu merupakan satu lagi rekod keuntungan bersih tahun penuh, tertinggi sejak penyenaraiannya di Bursa Malaysia pada 2011.
Pendapatan bagi tempoh itu juga meningkat 17.93% kepada RM605.03 juta berbanding RM513.05 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Secara keseluruhan, untung bersihnya bagi FY22 meningkat 27.58% kepada RM732.41 juta manakala pendapatan meningkat 11.23% kepada RM2.41 bilion.
Menurut HLIB, kedudukan kunci kira-kiranya menyaksikan peningkatan yang lebih pantas disebabkan hutang bersih yang rendah sebanyak RM4.7 bilion setakat akhir suku keempat 2022 manakala gearan bersih telah menurun buat 11 suku berturut-turut kepada 0.9x daripadan 2.9x pada suku pertama 2020.
"Kami percaya risiko pengurusan hutangnya akan bertambah baik dalam beberapa suku akan datang.
"Ketika ini, Bumi Armada sedang mempertimbangkan untuk melupuskan sebuah lagi kapal OSV memandangkan kumpulan berhasrat untuk melangkat keluar daripada perniagaan OSV secara menyeluruh," jelasnya.
Setakat 12.13 tengah hari, harga sahamnya menokok 1 sen atau 1.68% kepada 58.5 sen dengan 11.95 juta saham diniagakan. - DagangNews.com








