Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 2 Jun - Golongan ibu mengandung disyorkan untuk mendapatkan vaksin jenis Pfizer berbanding dua vaksin lagi iaitu AstraZeneca dan sinovac.
Perkara tersebut dinyatakan oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) dalam satu hantaran di laman Twitter hari ini.
Bagaimanapun, vaksin Pfizer tersebut hanyalah sesuai bagi individu hamil antara 14 hingga 33 minggu atau ditangguhkan selepas melahirkan anak.

Sementara itu, bagi golongan ibu menyusu pula, dua jenis vaksin iaitu Pfizer dan AstraZeneca adalah sesuai untuk diterima.
Bagi jenis sinovac pula, data keselamatan yang tersedia adalah terhad dan pengesyoran akan dibuat selepas konsultasi.
Golongan ibu mengandung dan ibu menyusu boleh mengemaskini status masing-masing di aplikasi MySejahtera.

JKJAV berkata, janji temu vaksinasi akan diberikan berdasarkan jenis vaksin yang sesuai bagi golongan berkenaan.
"Bagi yang bukan pengguna MySejahtera, anda boleh hubungi talian hotline," jelas JKJAV. - DagangNews.com








