KUALA LUMPUR 20 April - Kelab Sukan & Rekreasi Gemilang (GSRC) yang ditubuhkan para pekerja Gemilang International Limited (GML) mempelawa orang ramai untuk menyumbang bantuan makanan menerusi inisiatif bank makanan, HOL 448 Food Bank kepada masyarakat yang memerlukan.
Presiden GSRC, Amber Lee berkata, kelab yang ditubuhkan pada Julai 2022 ini menyasarkan untuk memupuk ikatan pasukan, komuniti aktif dan sihat, serta menggalakkan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dalam kalangan dan di luar kakitangan GML.
Katanya, sebagai sebahagian daripada iltizamnya terhadap CSR, GSRC telah menubuhkan pusat pengumpulan dalam syarikat untuk mengumpul barangan makanan pada setiap bulan.
"Sejak Januari 2023, GSRC telah mengumpulkan sejumlah besar barangan makanan dan sumbangan kewangan untuk menyokong inisiatif bank makanan.
"Kami amat berbesar hati dengan kemurahan hati para pekerja dan kontraktor kami yang telah menyumbang kepada inisiatif bank makanan, selain teruja melihat komuniti GML bersatu hati demi memberi impak positif kepada mereka yang memerlukan," katanya.
Menurut Lee, kelab tersebut juga menganjurkan aktiviti sukan dan rekreasi secara berkala, termasuk sesi badminton setiap Jumaat, futsal dua kali sebulan, dan boling sesi suku tahunan.
"Melalui inisiatif CSR ini, kami berhasrat untuk membuat perubahan positif dalam kehidupan masyarakat di sekeliling sambil menyumbang kepada sosial dan alam sekitar," katanya.


Selain aktiviti sukan, GSRC bertekad untuk mempromosikan CSR dalam kalangan ahlinya dengan menganjurkan aktiviti secara berkala untuk menggalakkan komuniti GML menyumbang kembali kepada masyarakat.
Selain program bank makanan yang bermula dari Januari 2023, beberapa acara lain turut berlangsung, antaranya pembersihan pantai pada Mei 2023, dan satu lagi kempen derma darah juga dijadualkan pada Ogos 2023.
Kelab ini juga mengalu-alukan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menganjurkan acara CSR, memberi kesan positif dalam kehidupan mereka yang memerlukan. - DagangNews.com








