KUALA LUMPUR 3 April - FWD Group Holdings Limited melengkapkan pegangan majoritinya, bersama pelabur lain dalam Gibraltar BSN Life Bhd.
FWD Group dalam kenyataan hari ini berkata, ia menandakan kemasukannya ke dalam pasaran insurans hayat Malaysia.
Katanya, urus niaga itu telahpun diumumkan pada 20 Februari 2023.
"FWD Group kini boleh menawarkan perkhidmatan yang komprehensif di Malaysia, yang dimasuki buat pertama kalinya pada Mac 2019, merangkumi kedua-dua produk insurans hayat dan takaful keluarga," katanya.
Sebelum ini, media melaporkan FWD Group akan memasuki pasaran insurans hayat Malaysia susulan pemeteraian perjanjian untuk melabur dalam majoriti pegangan dalam Gibraltar BSN, yang dijangka urus niaga ditutup pada suku kedua 2023.
FWD Group dan pelabur lain, akan bersama-sama memegang 70% kepentingan dalam Gibraltar BSN, yang dijual oleh The Prudential Insurance Company of America, milik penuh anak syarikat Prudential Financial, Inc. yang tersenarai di Bursa Saham New York (NYSE).
Bank Simpanan Nasional akan terus memegang baki 30% pemilikan kepentingan dalam Gibraltar BSN. Selepas siap, FWD Group akan bekerjasama dengan BSN untuk terus membangunkan dan mengembangkan Gibraltar BSN.
Untuk rekod, FWD Group adalah perniagaan insurans hayat Asia dengan lebih daripada 10 juta pelanggan merentasi 10 pasaran, termasuk beberapa pasaran insurans yang paling pesat berkembang di dunia. - DagangNews.com








