KUALA LUMPUR 14 April - Funding Societies dan Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC) menandatangani perjanjian Skim Jaminan Portfolio Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) untuk memacu pertumbuhan PKS Malaysia dengan menyediakan akses pembiayaan yang lebih mudah.
Menerusi kerjasama ini, Funding Societies dan CGC melanjutkan tranche pertama pembiayaan sehingga RM10 juta melalui penyelesaian pembiayaan digital Funding Societies untuk manfaat perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang berkelayakan kredit, namun kurang mendapat perhatian.
Di bawah skim ini, PKS berkelayakan boleh memohon pembiayaan antara RM50,000 dan RM500,000, yang mana akan mempunyai akses kepada pembiayaan untuk jangka masa yang lebih panjang dan menikmati kadar faedah keutamaan.
Pengasas Bersama & Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan Funding Societies Modalku, Kelvin Teo berkata, dengan adanya skim ini, pihaknya dapat memperluas akses kepada kemudahan pembiayaan untuk PKS yang terpinggir dalam pasaran utama Malaysia.
Katanya, rata-rata PKS mungkin mempunyai model perniagaan yang berdaya maju namun tidak mempunyai cagaran untuk mendapatkan pembiayaan melalui saluran pembiayaan tradisional.
"Kemudahan pembiayaan kami akan menyokong PKS sama ada untuk mengembangkan atau menampung operasi mereka, terutamanya ketika PKS sedang bangkit semula dalam tempoh pasca pandemik yang serba berdaya tahan ini.
"Untuk pelabur kami pula, Skim Jaminan Portfolio PKS turut mengurangkan risiko ketidakupayaan membayar balik pembiayaan oleh PKS," katanya dalam kenyataan hari ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif CGC, Datuk Mohd Zamree Mohd Ishak pula berkata, pihaknya berbesar hati kerana dapat melancarkan skim tersebut dengan Funding Societies, yang mana merupakan kerjasama julung kali.
"PG berjumlah RM10 juta ini akan membolehkan Funding Societies menawarkan kadar pembiayaan yang lebih rendah dan tempoh bayaran balik yang lebih panjang sehingga 60 bulan berbanding tempoh sekarang sehingga 18 bulan kepada PMKS terbabit.
"Kami yakin bahawa PG ini akan memberikan akses pembiayaan yang lebih baik kepada PMKS melalui platform digital. Selain itu, kerjasama CGC dengan pemain bukan tradisional akan mengukuhkan lagi ekosistem kewangan penting untuk mendorong pertumbuhan dan pembangunan PMKS," katanya. - DagangNews.com








