KUALA LUMPUR 4 Julai - Tentera laut Indonesia (TNI-AL) mempamerkan keupayaan pertahanan maritim negara itu apabila berjaya melaksanakan ujian penembakan sistem peluru berpandu antikapal, Exocet MM40 Block 3 dekat perairan Laut Jawa.
Dalam Latihan Armada Jaya XLI TA 2023 itu, kapal frigat kelas Sigma 10514, KRI I Gusti Ngurah Rai (332) telah melancarkan tembakan tersebut ke arah sebuah kapal sasaran.
SSM Exocet MM40 Block 3 buatan firma MBDA dari Perancis merupakan peluru berpandu antikapal terkini dalam aset tentera laut negara itu.
Peluru berpandu tersebut mengenai tepat ke sasaran dalam tempoh penerbangan kira-kira 195 saat dengan kelajuan 530 knot.
Latihan ini juga menyaksikan buat pertama kali frigat Sigma melancarkan tembakan peluru berpandu berkenaan.


Latihan Armada Jaya XLI TA 2023 kemudian diteruskan dengan fasa serangan dan pendaratan pasukan marin.
Keseluruhannya, sebanyak 18 buah kapal perang, tujuh pesawat dan kira-kira 5,900 anggota terlibat dalam latihan besar-besaran ini.
Dua bulan lalu, tentera laut Indonesia berjaya melakukan ujian penembakan sistem peluru berpandu pertahanan udara, VL MICA.
Kali terakhir TNI-AL melakukan penembakan Exocet ialah pada Oktober 2019 melibatkan kapal korvet Sigma 9113, KRI Sultan Iskandar Muda (367).
TNI-AL mula mengoperasikan Exocet sejak tahun 1970an apabila korvet kelas Fatahillah dan kapal serang laju kelas Mandau dilengkapi dengan peluru berpandu Exocet MM38.

Terbaru, dua kapal tempur laju milik negara itu yang ditauliahkan bulan lalu iaitu KRI Kapak (625) dan KRI Panah (626) juga akan dilengkapi dengan peluru berpandu Exocet MM40 Block 3.
Peluru berpandu Exocet MM40 Block 3 mempunyai jarak penembakan antara 180 kilometer (km) hingga 200km pada kelajuan subsonik.
Sistem persenjataan yang dimajukan daripada keluarga Exocet ini mula digunakan pada tahun 2010 oleh tentera laut Perancis.
Perancis juga giat menawarkan peluru berpandu ini kepada negara-negara yang menggunakan versi Exocet terdahulu bagi meningkatkan keupayaan sedia ada.
Seperti Indonesia, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) juga antara negara terawal di dunia yang menggunakan peluru berpandu Exocet MM38 pada kapal-kapal peronda laju sejak tahun 1970an.

Peluru berpandu Exocet kemudian menjadi pilihan apabila Exocet MM40 dilengkapkan pada dua kapal frigat kelas Lekiu iaitu KD Jebat dan KD Lekiu pada tahun 1999.
Turut dilengkapi dengan peluru berpandu Exocet ialah dua kapal korvet kelas Kasturi iaitu KD Lekir dan KD Kasturi.
Dua kapal selam kelas Perdana Menteri iaitu KD Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Abdul Razak juga menggunakan peluru berpandu antikapal lancaran kapal selam, SM39.
Ini menjadikan TLDM sebagai satu-satunya pengguna yang mempunyai kemampuan melancarkan peluru berpandu antikapal lancaran kapal selam di rantau ini.
Kali terakhir TLDM melakukan penembakan peluru berpandu antikapal Exocet MM40 ialah pada Julai tahun lalu oleh KD Lekir di perairan Hawaii, Amerika Syarikat dalam siri Eksesais 'Rim of the Pacific' (RIMPAC) 2022.
Eksesais maritim antarabangsa terbesar itu mencipta sejarah kerana ini kali pertama aset TLDM membuat penembakan peluru berpandu di luar perairan Malaysia. - DagangNews.com







