Food Market Hub, Supplybunny lancar program pembiayaan B2B pertama di Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Food Market Hub, Supplybunny lancar program pembiayaan B2B pertama di Malaysia

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 19 April - Dua penyedia penyelesaian terkemuka bekalan makanan dan minuman (F&B), Food Market Hub dan Supplybunny melancarkan program pembiayaan tersedia perniagaan-ke-perniagaan (B2B) yang pertama di Malaysia. 

 

Kerjasama tiga pihak berkenaan menyaksikan Food Market Hub menghubungkan 3,000 pengusaha F&B dimilikinya dengan 800 pembekal di Supplybunny menerusi penyelesaian bersepadunya yang ditunjangi oleh Funding Societies.

 

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Food Market Hub, Anthony See berkata, industri F&B Malaysia diunjurkan untuk menyumbang sebanyak RM35.2 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara. 

 

Katanya, dianggarkan pertumbuhan sebanyak 22% direkodkan bagi 2022 dan sebanyak 8% lagi tahun ini. 

 

"Meskipun tahun ini kelihatan optimis, kita perlu bersedia untuk menghadapi kemungkinan kemelesetan ekonomi. Dalam situasi sedemikian, aliran tunai yang dimiliki perusahaan kecil dan sederhana (PKS)dapat membantu.

 

"Justeru mereka boleh melaburkannya semula dari segi pemasaran atau menambah baik pengalaman pelanggan. Kami mahu membantu pengusaha restoran berjaya dalam industri F&B yang kompetitif," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

CEO Supplybunny, Tham Keng Yew pula berkata, pihaknya berjaya melaksanakan projek perintis selama beberapa bulan ini yang membabitkan pembekal barangan sejuk dan segar, selain bersedia untuk melancarkan program dalam skala lebih besar. 

 

 

food
(Dari kiri) Anthony See, Tham Keng Yew dan Chai Kien Poon

 

 

"Kami teruja mengenai kesan inisiatif ini terhadap perkhidmatan makanan vertikal di Malaysia – secara khususnya penambahbaikan kecekapan aliran tunai yang memudahkan perolehan bekalan tepat pada masanya dan mengurangkan tekanan pada rantaian bekalan. 

 

"Faedahnya pula, ia akan menyumbang kepada polisi jangka pendek dan sederhana membabitkan keselamatan makanan di Malaysia," katanya.

 

Ketua Negara Funding Societies Malaysia, Chai Kien Poon berkata, akses kepada modal ternyata penting kepada PKS dalam sektor F&B kerana mereka berusaha untuk memenuhi permintaan pelanggan yang kian meningkat selepas pandemik dan membantu meningkatkan operasi mereka. 

 

"Menerusi kerjasama dengan Food Market Hub dan Supplybunny, Funding Societies dapat membantu dan menilai PKS yang layak kredit dan kurang mendapat perkhidmatan dalam industri F&B," katanya.

 

Program pembiayaan berkenaan kini boleh didapati di kedua-dua pasaran Food Market Hub dan Supplybunny. 

 

Pengusaha restoran dijemput untuk mendaftar dan memanfaatkan penyelesaian kewangan baharu ini. Untuk maklumat lanjut mengenai kerjasama berkenaan, sila layari www.foodmarkethub.com/financing. - DagangNews.com