Oleh NABILA YASMIN RAZIB
KUALA LUMPUR 5 Okt. - Perkhidmatan media sosial Facebook, Instagram, Messenger dan WhatsApp kembali pulih selepas mengalami gangguan hampir enam jam yang menyebabkan 3.5 bilion pengguna tidak dapat mengakses media sosial masing-masing.
Facebook telah membuat permohonan maaf di atas gangguan tersebut namun tidak menjelaskan apa yang menyebabkan tiga laman media sosial popular itu gagal diakses.
Menurut Reuters, gangguan itu merupakan yang terbesar pernah dikesan oleh kumpulan pemantau web Downdetector.
Gangguan perkhidmatan itu merupakan tamparan kedua kepada syarikat media sosial berkenaan dalam tempoh beberapa hari selepas pemberi maklumat menuduh syarikat itu berulang kali mengutamakan keuntungan kerana membenarkan ucapan kebencian dan penyebaran maklumat palsu.
Disebabkan gangguan tersebut ramai pengguna beralih ke aplikasi pesaing seperti Twitter dan TikTok sekaligus menyebabkan saham Facebook jatuh 4.9%, penurunan harian terbesar mereka sejak November lalu, di tengah penjualan saham teknologi yang lebih luas pada hari Isnin.
Saham Facebook bagaimanapun meningkat sekitar 0.5% selepas penyambungan semula perkhidmatan.
Sementara itu kekayaan peribadi Mark Zuckerberg dilapor merosot lebih AS$6 bilion dalam masa hanya beberapa jam susulan gangguan pada platform media sosial yang bermula lewat semalam.
Ini menyebabkan pengasas bersama Facebook itu jatuh satu anak tangga dalam senarai individu terkaya dunia, lapor Bloomberg.
"Kepada setiap perniagaan kecil, besar, keluarga, dan individu yang bergantung pada kami, saya minta maaf," kata Ketua Pegawai Teknologi Facebook, Mike Schroepfer, dan menambah bahawa 'ia mungkin memerlukan sedikit masa untuk kembali pulih 100%'.
Beberapa pekerja Facebook yang enggan disebut namanya mengatakan bahawa mereka percaya bahawa gangguan itu disebabkan oleh kesalahan dalaman dalam bagaimana lalu lintas internet diarahkan ke sistemnya.
"Kegagalan alat komunikasi dalaman dan sumber lain yang bergantung pada rangkaian yang sama untuk berfungsi telah menyebabkan gangguan," kata para pekerja. -DagangNews.com








