ECERDC sasar tarik RM9.5 bilion pelaburan komited ke Pahang pada 2023 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

ECERDC sasar tarik RM9.5 bilion pelaburan komited ke Pahang pada 2023

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mempengerusikan Mesyuarat ICC Pahang, hari ini.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Mac - Majlis Pembangunan Wilayah Pantai Timur (ECERDC) menyasarkan untuk menarik RM9.5 bilion pelaburan komited ke Pahang tahun ini iaitu peningkatan lebih 40% daripada pelaburan yang dicapai sebanyak RM5.5 bilion pada tahun lalu.

 

Pelaburan berpotensi dalam sektor pembuatan, perniagaan tani, pelancongan, minyak, gas, dan petrokimia, serta sektor tenaga boleh diperbaharui dijangka akan mewujudkan lebih banyak pekerjaan baharu dan peluang keusahawanan kepada rakyat Pahang.

 

Dalam dua bulan pertama tahun ini, ECERDC telah mencapai RM2.07 bilion dalam pelaburan komited di Pahang. Ini adalah hasil usaha promosi intensif ECERDC dan kerjasama erat dengan Kerajaan Negeri Pahang, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

 

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pelaburan berpotensi dalam sektor pembuatan, perniagaan tani, pelancongan, minyak, gas dan petrokimia serta sektor tenaga boleh diperbaharui.

 

Katanya, ia juga dijangka mewujudkan lebih banyak pekerjaan baharu dan peluang keusahawanan kepada rakyat Pahang.

 

"Bagi tempoh dua bulan tahun ini, ECERDC mencapai RM2.07 bilion dalam pelaburan komited di Pahang.

 

"Projek dan inisiatif strategik yang dirancang oleh ECERDC untuk negeri Pahang seperti penambahbaikan infrastruktur dan program pembangunan modal insan yang dijalankan. Ia seiring dengan usaha promosi pelaburan akan membantu mengukuhkan kedudukan negeri Pahang sebagai sebuah destinasi pelaburan pilihan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Ketika mesyuarat ICC Pahang, ahli jawatankuasa telah diberi taklimat mengenai status inisiatif pembangunan industri RV di Malaysia, termasuk lawatan pengurusan tertinggi syarikat pengeluar RV Jerman, pengeluar komponen RV dan penganjur pameran perdagangan karavan ke Taman Automotif Pahang (PAP) dan Taman Teknologi Pahang (PTP) untuk meneroka potensi pelaburan dalam pemasangan dan pembuatan RV di Wilayah ECER 

 

ECERDC, dalam usaha “Mencipta Destinasi” bagi merancakkan sektor pelancongan dan memacu ekonomi tempatan, kini sedang menaik taraf Pantai Hiburan Rompin. 

 

Projek itu  merangkumi pembinaan pintu masuk, menara tinjau, gazebo, kaunter tiket dan kemudahan awam lain. Pantai Hiburan Rompin juga telah dikenal pasti sebagai lokasi Taman Kenderaan Rekreasi pertama di Wilayah ECER.

 

Ahli Jawatankuasa ICC Pahang juga diberi taklimat mengenai projek ECERDC lain yang sedang dijalankan termasuk kerja-kerja menaik taraf Jeti Kg. Salang, Pulau Tioman, paip agihan air dari Kemaman ke Gebeng dan pembangunan Pantai Hiburan Rompin. - DagangNews.com