Dua beranak didenda RM14,000 jual android box 'haram' | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Dua beranak didenda RM14,000 jual android box 'haram'

Tay Wee Hwa dan anak lelakinya, Tay Eng Guan dijatuhkan hukuman denda RM14,000 oleh Mahkamah Sesyen Kluang pada 14 April 2023. - Gambar Astro Awani
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 14 April - Pemilik kedai elektronik, Tay Wee Hwa, 60, dan anaknya Tay Eng Guan, 30, dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM14,000 oleh Mahkamah Majistret Kluang selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menjual 'android box' dengan kandungan Astro yang tidak dibenarkan di bawah Seksyen 41(1)(ha) Akta Hak Cipta 1987.

 

Pertuduhan itu dibuat selepas siasatan menyeluruh oleh pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Unit Siasatan Jenayah Siber, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, yang menyerbu outlet elektronik yang terletak di Jalan Dato Sulaiman Mohd Noor, Kluang Baru pada 7 Disember 2021 dan merampas lima buah android box itu.

 

Jurucakap Astro berkata, pihaknya memandang serius cetak rompak dan komited untuk bekerjasama pihak berkuasa untuk melindungi hak sebagai pemilik kandungan. 

 

"Perkongsian dan pengedaran haram kandungan hak cipta bukan sahaja membahayakan pemilik hak cipta tetapi juga menjejaskan mata pencarian mereka bekerja dalam industri hiburan. 

 

"Kami akan terus bekerja tanpa jemu untuk memerangi lanun dan memastikan keadilan ditegakkan," katanya dalam kenyataan.

 

Pertuduhan terhadap dua individu itu menjadi amaran kepada mereka yang menjual android box tersebut yang dimuatkan dengan kandungan Astro yang tidak dibenarkan. 

 

Mereka yang didapati bersalah boleh didenda hingga RM200,000, penjara sehingga 20 tahun, atau kedua-duanya sekali.

 

 

android
Gambar hiasan 

 

 

Pada April 2023, seramai lima individu telah didakwa atas kesalahan berkaitan cetak rompak, yang mana seorang pelajar berusia 22 tahun telah didenda oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur kerana mempunyai pautan yang tidak dibenarkan siri drama TV tempatan popular pada peranti miliknya.

 

Pada 5 April 2023, dua individu didakwa mengikut Seksyen 43AA Hak Cipta (Pindaan) Akta 2022 kerana menjual android box dengan kandungan yang tidak dibenarkan, yang menandakan kes yang pertama sejak pindaan itu berkuat kuasa pada Mac 2022.

 

BACA JUGA: Dua individu didakwa di bawah Akta Hak Cipta kerana menjual Android Box

 

Orang ramai diingatkan supaya menyalurkan maklumat aktiviti cetak rompak kepada National Scam Response Centre (NSRC) di talian 997, Talian Maklumat CCID 013-2111222, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup melalui talian hotline 1-800-886-800 atau 03-8882 6088, WhatsApp di 019-279 4317 atau emel ke [email protected] atau melalui aplikasi Ez ADU. - DagangNews.com