Solarvest bakal memasuki fasa pertumbuhan baharu disokong kontrak CRESS pertama - UOBKH | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Solarvest bakal memasuki fasa pertumbuhan baharu disokong kontrak CRESS pertama - UOBKH

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 7 Julai - Prospek Solarvest Holdings Bhd dijangka terus bertambah baik kerana syarikat tenaga boleh diperbaharui (RE) itu berada pada kedudukan yang kukuh untuk memperoleh kontrak pertama di bawah Skim Bekalan Tenaga Boleh Diperbaharui Korporat (CRESS) dalam tempoh terdekat, menurut UOB Kay Hian (UOBKH) Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata, selain pengembangan portfolio RE, prospek pertumbuhan itu turut disokong menerusi kerjasama strategiknya dengan Brookfield.

 

"Kami menjangkakan pengumuman kontrak pertama CRESS yang dimenangi kumpulan akan dimuktamadkan dalam masa terdekat," katanya dalam nota penyelidikan.

 

Menurut UOBKH, susulan lawatan tapak baru-baru ini ke ladang solar kumpulan yang dibangunkan di bawah skim Large Scale Solar 4 (LSS4) dan Corporate Green Power Programme (CGPP), firma itu yakin dengan keupayaan Solarvest membina aliran pendapatan berulang yang bermakna di samping perniagaan Kejuruteraan, Perolehan, Pembinaan dan Pentauliahan (EPCC).

 

Katanya, pihak pengurusan menyasarkan untuk meningkatkan sumbangan pendapatan berulang daripada bahagian penjanaan tenaga boleh diperbaharui kepada 30% daripada hasil kumpulan dalam jangka sederhana, berbanding kira-kira 5% ketika ini.

 

Kerjasama Brookfield Percepat Transformasi Solarvest

Katanya, kerjasama strategik dengan Brookfield akan membolehkan Solarvest membangunkan dan mengendalikan sekurang-kurangnya 1.5 gigawatt (GW) projek solar berskala utiliti dan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.

 

"Ini akan mempercepatkan transformasi Solarvest daripada kontraktor EPCC kepada pemilik dan pengendali aset tenaga boleh diperbaharui yang mampu menjana pendapatan berulang yang lebih stabil," katanya.

 

Setakat ini, portfolio aset solar Solarvest telah berkembang kepada 580 megawatt (MW), dengan 180MW daripadanya telah mula beroperasi.

 

Walaupun bahagian penjanaan tenaga boleh diperbaharui hanya menyumbang kira-kira 5% daripada hasil kumpulan pada FY2026, segmen itu menyumbang 23% daripada pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA), manakala sumbangannya dijangka meningkat lagi pada FY2027 selepas projek CGPP mula beroperasi sepenuhnya.

 

UOBKH berkata, ladang solar LSS4 Solarvest secara konsisten mencatatkan eksport tenaga antara 2% hingga 5% melebihi sasaran sejak memulakan operasi pada FY2024.

 

Selain itu, ladang solar CGPP yang mula beroperasi pada April 2026 turut merekodkan tahap penjanaan tenaga yang kukuh hasil reka bentuk projek yang optimum, infrastruktur penyambungan grid yang cekap serta amalan operasi dan penyelenggaraan yang berkesan.

 

Firma penyelidikan itu berkata, inisiatif seperti penggunaan karpet reflektif kawalan rumpai dan takungan air di bawah modul solar berpotensi meningkatkan hasil penjanaan tenaga sehingga 5%, di samping mengurangkan kos penyelenggaraan.

 

Dalam masa sama, UOBKH menjangkakan ladang solar 30MW milik Setia Kawan Energy, yang dimiliki sebanyak 70% oleh Solarvest, akan mula menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan pada FY2027. - DagangNews.com