KUALA LUMPUR 14 April - "Allahuakbar, Allahuakbar".
Laungan azan Maghrib berkumandang tandanya masuk waktu berbuka puasa untuk semua umat Islam di muka bumi ini setelah lebih dari 10 jam menahan lapar dan dahaga.
Tetapi, masih terdapat insan yang masih berjuang sewaktu semua sedang menikmati juadah berbuka puasa.
Seorang doktor berusaha menyelamatkan satu nyawa yang sedang bertarung untuk hidup di bilik pembedahan hospital veterinar.
Dr Nor Alimah Rahman berkongsi pengalamannya selama 20 tahun berkhidmat dengan melakukan pembedahan pada bulan Ramadan ketika orang lain sedang beriftar.
Beliau yang merupakan Pegawai Veterinar Hospital Veterinar Universiti (UVH) Fakulti Perubatan Veterinar Universiti Putra Malaysia (UPM) menceritakan detik-detik menyedihkan sewaktu pesakit sedang nazak dalam bilik pembedahan ketika azan berkumandang.
"Masa itu, kami berusaha sehabis mungkin bergabung tenaga untuk menghabiskan operasi pembedahan dalam masa yang pantas supaya dapat selamatkan nyawa pesakit.

"Bayangkan sewaktu menjalani pembedahan tersebut, pesakit sedang nazak dan semua ahli keluarga bergegas ke hospital untuk melihat keluarga kesayangan mereka pergi. 'Innalillahiwainnailaihirajiun'...pesakit pergi buat selama-lamanya ketika pembedahan dilakukan.
"Perasaan sebak dan air mata mengalir kerana faham bahawa mereka bakal kehilangan seorang ahli keluarga tercinta lagi-lagi pada waktu berbuka di bilik bedah," katanya.
Katanya, ebagai pencinta haiwan mereka akan merasai kehilangan haiwan kesayangan sama seperti orang yang dicintai pergi meninggalkan buat selama-lamanya.

Ujar beliau, emosi ahli keluarga sangat terkesan lagi-lagi semasa waktu berbuka puasa.
"Kami sebagai doktor veterinar perlu kuat walaupun telah kehilangan pesakit sebagai penghormatan kepada keluarga pesakit walaupun masih belum berbuka puasa.
“Bukan itu sahaja, ada masanya sebagai doktor veterinar kami juga tidak berpeluang untuk menunaikan solat sunat terawih kerana melakukan pembedahan kepada pesakit yang memakan masa agak lama.
"Mungkin ini sumbangan saya kepada makhluk Allah di atas muka bumi ini. Oleh itu kita haruslah sentiasa bersyukur dan melakukan tanggungjawab dan amanah ini kerana Allah," katanya. - DagangNews.com








