Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 6 Dis - Digital Nasional Bhd (DNB) mengumumkan untuk menawarkan spektrum 5G secara borong tanpa kos kepada semua pengendali rangkaian mudah alih (MNO) bermula 15 Disember 2021 hingga 31 Mac 2022 sempena pelancaran komersial rangkaian itu di Malaysia.
Ketua Pegawai Komersial DNB, Ahmad Taufek Omar, berkata tawaran bagi tempoh percubaan komersial itu terpakai untuk semua tapak 5G yang akan siap di seluruh Putrajaya, Cyberjaya dan sebahagian Kuala Lumpur bulan ini.
Beliau berkata, setakat ini, satu MNO sudah mengesahkan minat untuk bersama DNB, yang juga anak syarikat milik penuh Kementerian Kewangan (Diperbadankan) bagi menyediakan pengalaman rangkaian 5G kepada pengguna akhir.
Katanya, DNB sedang aktif berunding dengan lima lagi MNO di negara ini untuk bersamanya bagi pelancaran komersial rangkaian 5G.
"Bermula 15 Disember 2021 hingga 31 Mac 2022, kami menawarkan perkhidmatan 5G secara borong tanpa kos kepada MNO.
"Dijangkakan lebih banyak MNO akan menyertai kami dalam tempoh dua minggu lagi. Perbincangan yang sedang berlangsung sekarang ini adalah positif," katanya pada Preview Media: 5G Kini Sedia di Malaysia yang diadakan di sini, hari ini.
Mengulas sama ada pengguna akhir bakal menikmati perkhidmatan 5G secara percuma dalam tempoh percubaan komersil itu, Ahmad Taufek berkata, perkara itu bergantung kepada syarikat telekomunikasi untuk menentukannya.
Beliau berkata, perkhidmatan runcit membabitkan 5G di negara ini adalah di bawah tanggungjawab syarikat telekomunikasi, manakala DNB hanya menyediakan perkhidmatan borong, yang mana pelanggannya adalah MNO.
"Sebagai penyedia perkhidmatan borong 5G, kami tidak bersaing dengan industri untuk menyediakan perkhidmatan runcit 5G kepada pengguna akhir.
"Sebaliknya, DNB sedang melengkapkan usaha oleh MNO untuk mempercepatkan penggunaan 5G di negara ini. Pengguna akhir digalakkan untuk menghubungi penyedia perkhidmatan masing-masing untuk bertanya mengenai ketersediaan 5G," katanya. -DagangNews.com








