Discover PKNS 2023 tarik penglibatan orang ramai menerusi pelbagai aktiviti komuniti | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Discover PKNS 2023 tarik penglibatan orang ramai menerusi pelbagai aktiviti komuniti

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 3 Mei - Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) melancarkan kempen Discover PKNS 2023 sebagai platform untuk mendekati orang ramai di pusat perbandaran PKNS, menerusi pelbagai aktiviti berbentuk karnival selain mempromosikan produk-produk PKNS.

 

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan dan Keusahawanan) PKNS, Suhaimi Kasdon berkata, Discover PKNS 2023 merupakan sebuah karnival yang melibatkan komuniti setempat selain turut disertai rakan strategik PKNS. 

 

Katanya, objektif utama Discover PKNS 2023 ialah untuk menarik penglibatan orang ramai atau 'public engagement' menerusi aktiviti-aktiviti yang melibatkan komuniti di perbandaran PKNS. 

 

"Selain itu ia juga menjadi medium untuk menarik minat bakal pembeli dan mengukuhkan kesedaran orang ramai berkenaan produk-produk perumahan PKNS menerusi promosi projek sedia ada serta yang bakal dilancarkan," katanya dalam kenyataan.

 

Discover PKNS 2023 merupakan siri jelajah ke pusat-pusat perbandaran PKNS iaitu Kota Puteri, Antara Gapi dan Selangor Cyber Valley, bermula pada 6 dan 7 Mei 2023 di Kota Puteri, yang mana PKNS juga akan melancarkan projek kediaman Puteri Ariana pada 7 Mei ini.

 

Suhaimi berkata, lokasi kedua di pusat perbandaran Antara Gapi akan berlangsung pada 24 dan 25 Jun 2023 manakala lokasi ketiga di Selangor Cyber Valley pada 29 dan 30 Julai 2023. 

 

"Sempena ulang tahun PKNS ke-59 Ogos ini, program Discover PKNS 2023 ini akan berlangsung di Kompleks PKNS Shah Alam pada 12 dan 13 Ogos 2023 dan ‘mega finale’ atau penutup program di SACC, Shah Alam pada 28 dan 29 Oktober 2023," katanya.

 

 

PKNS
                                               Suhaimi Kasdon

 

 

Pelbagai aktiviti menarik bakal menanti pengunjung di kesemua lokasi pilihan seperti aktiviti berbasikal, memancing, pertandingan memasak, forum perdana, persembahan artis popular tanah air, sukaneka rakyat, 'food truck' selain pameran dan jualan produk PKNS serta Hari Bertemu Pelanggan. 

 

Sementara itu, rakan-rakan strategik PKNS akan turut memeriahkan Discover PKNS 2023 menerusi gerai jualan produk, jualan produk usahawan serta gerai promosi daripada panel bank PKNS. - DagangNews.com