Coastal Contracts jangka loji gas Papan, Perdiz beroperasi pada kapasiti maksimum dalam 6 hingga 8 bulan – TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Coastal Contracts jangka loji gas Papan, Perdiz beroperasi pada kapasiti maksimum dalam 6 hingga 8 bulan – TA Securities

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 12 Jun - Pengurusan Coastal Contracts Berhad menjangkakan loji gas Papan dan Perdiz di Mexico beroperasi pada kapasiti maksimum dalam enam hingga lapan bulan, menurut TA Securities.

 

Firma penyelidikan itu berkata loji gas Papan telah menyelesaikan ujian pentauliahan pada 26 Mac 2023 dan akan mula menyumbang kepada pendapatan kumpulan dalam suku keempat tahun kewangan berakhir 30 Jun 2023 (4QFY23).

 

“Pihak pengurusan menjangkakan kedua-dua loji Perdiz dan Papan akan beroperasi pada kapasiti maksimum dalam tempoh enam hingga lapan bulan sebaik sahaja Pemex membina lebih banyak telaga di lapangan Ixachi untuk meningkatkan kapasiti pengeluarannya,” katanya dalam nota hari ini.

 

Tambahnya, dalam perbincangan Coastal bagi melanjutkan tempoh kontrak loji Perdiz, Pemex sedang mempertimbangkan untuk menambah ciri pemulihan nafta dan gas petroleum cecair (LPG) pada loji tersebut.

 

Firma itu percaya hal tersebut merupakan petanda baik bahawa kumpulan itu berada di landasan yang bagus untuk mendapatkan lanjutan kontrak dan mungkin boleh merundingkan tarif lebih tinggi.

 

Di samping itu, kadar pemprosesan gas untuk loji Perdiz telah meningkat, mendorong kenaikan pendapatannya sebanyak 17.8% suku ke suku (QoQ) kepada RM11.7 juta dalam suku ketiga tahun kewangan 2023 (3QFY23) walaupun volum diproses merosot kepada 165.2mmscfd (juta kaki padu gas sehari) daripada 186.1mmscfd dalam suku itu disebabkan sebahagian daripada gas di loji Perdiz dialihkan ke loji Papan untuk ujian pentauliahan.

 

Selain itu, pengurusan kumpulan mendedahkan bahawa tarif telah meningkat sebanyak kira-kira 7 hingga 8% sejak 3QFY23.

 

“Pengurusan menjangkakan volum pemprosesan Perdiz akan turun di bawah paras pengambilalihan 120mmscfd pada suku akan datang kerana lebih banyak gas dialihkan ke loji Papan yang boleh mendapatkan semula lebih banyak produk sampingan iaitu naphtha dan LPG,” tambahnya.

 

Sementara itu, buku pesanan Coastal berjumlah RM4.3 bilion pada masa ini dengan potensi tambahan RM666.9 juta daripada pelanjutan kontrak manakala buku tender kumpulan berjumlah RM5.2 bilion.

 

Sebahagian daripada sasaran kumpulan itu adalah satu projek infrastruktur berkaitan pengeluaran dan tiga projek tenaga boleh diperbaharui, terutamanya solar dan ladang angin, di Asia Tenggara, namun kumpulan itu percaya bahawa kontrak ini tidak mungkin diumumkan dalam tempoh terdekat.

 

Sebaliknya, syarikat usaha sama Mexico Coastoil Dynamic S.A. de C.V. sedang membida untuk empat projek berkaitan gas di Mexico.

 

TA Securities mengekalkan unjuran pendapatan dan ulangi saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) tidak berubah RM3.10 sesaham. -DagangNews.com