KUALA LUMPUR 8 Julai – Malaysia Debt Ventures Berhad (MDV) mengekalkan penarafan kredit korporat AA3 dengan prospek stabil serta penarafan jangka pendek P1 daripada RAM Ratings yang mencerminkan kedudukan kewangan syarikat terus kukuh serta peranan strategiknya dalam menyokong pembangunan sektor teknologi dan inovasi negara.
MDV berkata, RAM Ratings turut mengekalkan penarafan sama bagi Program Kertas Komersial dan Nota Jangka Sederhana (MTN) Konvensional dan Islamik bernilai RM2 bilion.
Menurut agensi penarafan itu, keputusan tersebut dibuat berdasarkan sokongan kukuh kerajaan terhadap MDV yang merupakan syarikat milik penuh Menteri Kewangan (Diperbadankan), selain mandat strategiknya untuk memperluaskan akses pembiayaan kepada syarikat teknologi di Malaysia.
Ditubuhkan pada 2002, MDV berperanan menyediakan pembiayaan kepada syarikat teknologi yang sukar mendapatkan akses pembiayaan daripada institusi kewangan konvensional.
Mandat syarikat itu kemudiannya diperluaskan meliputi sektor teknologi hijau, bioteknologi, teknologi strategik dan teknologi baharu, syarikat pemula niaga serta inisiatif peralihan tenaga.
Peranan Strategik Dalam Agenda Peralihan Tenaga
RAM Ratings turut mengambil kira kepentingan strategik MDV sebagai antara agensi pelaksana di bawah Kemudahan Peralihan Tenaga Negara yang menyokong pelaksanaan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
Melalui peranan itu, MDV membantu membiayai projek berasaskan teknologi dan kelestarian yang sejajar dengan agenda peralihan tenaga negara serta matlamat pembangunan ekonomi jangka panjang Malaysia.
Dari segi prestasi kewangan, MDV merekodkan keputusan lebih baik bagi tahun kewangan 2025, disokong oleh peningkatan pendapatan pembiayaan serta pemulihan rosot nilai.

Pada masa sama, nisbah pembiayaan terjejas kasar syarikat turut menunjukkan penambahbaikan walaupun portfolio pembiayaannya masih mencerminkan profil risiko yang lebih tinggi berikutan mandat pembiayaan pembangunan yang dilaksanakan.
RAM Ratings turut mengiktiraf usaha berterusan MDV dalam memperkukuh pengurusan portfolio, tadbir urus korporat dan pengawasan risiko, yang dilihat menyokong daya tahan kewangan syarikat dalam jangka panjang.
Prestasi Kewangan Semakin Kukuh
Ketua Pegawai Eksekutif MDV, Rizal Fauzi berkata, pengekalan penarafan itu mencerminkan keyakinan terhadap peranan MDV sebagai pembiaya teknologi negara serta komitmennya untuk terus memperluaskan akses pembiayaan kepada sektor teknologi yang masih kurang mendapat pembiayaan.
“Ketika Malaysia mempercepat agenda inovasi, kelestarian dan peralihan tenaga, MDV akan terus menyokong syarikat serta projek yang mampu mewujudkan impak ekonomi jangka panjang, di samping mengekalkan pengurusan risiko yang berhemat.
“Sejak menerima penarafan kredit pertama pada 2019, MDV memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kemampanan kewangan sambil melaksanakan mandat pembangunan,” katanya.
Prestasi kewangan yang lebih baik pada tahun kewangan 2025 yang membolehkan syarikat terus memperluaskan pembiayaan kepada syarikat teknologi berimpak tinggi.
Sejak 2018, MDV juga menjadi penyedia pembiayaan modal teroka pertama di Malaysia, selain menawarkan penyelesaian pembiayaan konvensional dan Islamik serta bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan dan rakan ekosistem bagi menyokong pembangunan sektor teknologi, bioekonomi dan peralihan tenaga negara. - DagangNews.com








