CIMB perkukuh komitmen pembangunan bakat sukan Malaysia melalui penajaan pemain skuasy, Sivasangari Subramaniam | DagangNews Skip to main content

CIMB perkukuh komitmen pembangunan bakat sukan Malaysia melalui penajaan pemain skuasy, Sivasangari Subramaniam

CIMB terus mengukuhkan komitmennya ke arah pembangunan bakat sukan tempatan menerusi penajaan pemain skuasy profesional, Sivasangari Subramaniam.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 14 Mac - CIMB Group Holdings Berhad terus mengukuhkan komitmennya ke arah pembangunan bakat sukan tempatan menerusi penajaan kepada pemain skuasy profesional, Sivasangari Subramaniam.

 

CIMB berkata, ia menyaksikan Sivasangari sebagai duta sukan terbaharu menyertai pelumba basikal trek, Datuk Azizulhasni Awang dan pemain golf, Ervin Chang dalam senarai persatuan atlet elit CIMB.

 

Katanya sebagai seorang junior dan bintang remaja, beliau (Sivasangari) adalah penerima manfaat daripada banyak program CIMB termasuk Program Pembangunan Skuasy Junior CIMB pada awal 2009 dan Biasiswa Akademik Skuasy CIMB oleh CIMB Foundation.

 

"Apabila beliau diberikan biasiswa penuh selama empat tahun pada 2018, ia membolehkannya meneruskan pendidikan tingginya di Universiti Cornell, New York yang mana beliau lulus dengan cemerlang memegang Ijazah Sarjana Muda dalam komunikasi sambil menerima bimbingan skuasy terkemuka," katanya.

 

Terdahulu, majlis menandatangani kerjasama itu disaksikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, manakala CIMB diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbankan Pengguna dan Digital CIMB, Effendy Shahul Hamid.

 

Effendy berkata, Sivasangari mempunyai pemikiran seorang pemenang dan mengharapkan beliau menjadi kebanggaan yang besar untuk negara. 

 

"CIMB tidak asing dengan penajaan ini dan kami sangat berbesar hati dapat menambah senarai bakat sukan kami, termasuk Azizulhasni dan Chang. 

 

 

CIMB
Effendy Shahul Hamid (kanan) bersama Sivasangari Subramaniam (kiri) menandatangani perjanjian kerjasama sambil disaksikan oleh Hannah Yeoh di Menara CIMB, Kuala Lumpur pada 14 Mac 2024.

 

 

"Kami mengharapkan ketiga-tiga mereka bukan sahaja menjadi duta CIMB, tetapi duta negara kerana mereka mengejar kecemerlangan dalam bidang masing-masing di peringkat global.

 

“Kami tidak sabar-sabar untuk memainkan peranan dalam pembangunan industri sukan Malaysia dalam usaha untuk memartabatkan status kebangsaan kita sebagai pesaing serius dalam skuasy terutamanya, memandangkan kemasukan skuasy dalam temasya Sukan Olimpik Los Angeles pada 2028," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

 

 

CIMB
Effendy Shahul Hamid

 

 

Sivasangari pula berkata, beliau berbesar hati kerana diberi peluang untuk bekerjasama dengan CIMB, jenama yang sinonim dalam memainkan peranan aktif dalam menyokong ramai bakat hebat.

 

"Dari fasa permulaan kerjaya saya sehingga kini, CIMB memainkan peranan aktif dalam perkembangan perjalanan profesional saya. Saya bersyukur kerana diberi sokongan untuk merealisasikan dan memajukan cita-cita saya sebagai pemain skuasy profesional, menjadikan semangat saya sebagai ganjaran kerjaya. 

 

 

CIMB

 

 

"Saya akan terus membanggakan Malaysia dan saya mengharapkan perkongsian yang bermanfaat di hadapan dengan CIMB," katanya.

 

Sivasangari yang berasal dari Sungai Petani, Kedah kini menduduki tempat teratas negara dan berada di kedudukan ke-15 dunia dalam skuasy. 

 

 

CIMB

 

 

Beliau mengekalkan kerjaya cemerlang sejak 2012, apabila muncul juara di banyak kejohanan kebangsaan dan antarabangsa termasuk Terbuka Remaja British, Kejohanan Individu Remaja Asia, Sukan Belia Komanwel dan Sukan Asia 2023 di Hangzhou, dalam kedua-dua kategori individu dan berpasukan.

 

Pada 2023, Sivasangari turut dianugerahkan dengan Anugerah Betty Richey oleh Collegiate Skuasy League (CSL), satu pengiktirafan yang diberikan kepada pemain senior yang mewujudkan cita-cita skuasy melalui permainannya yang luar biasa, semangat untuk permainan, komitmen, semangat kesukanan yang adil dan tahap kemahiran tinggi. - DagangNews.com