CGS-CIMB unjur Farm Fresh mampu catat hasil lebih kukuh pada FY24 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

CGS-CIMB unjur Farm Fresh mampu catat hasil lebih kukuh pada FY24

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 27 Feb - Farm Fresh Bhd (FFB) diunjur mencatat hasil kewangan yang kukuh pada suku keempat bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2023 (FY23), didorong oleh volum jualan yang lebih tinggi, pengembangan kapasiti pengeluaran dan kos input yang lebih rendah, menurut CGS-CIMB.

 

Firma penyelidikan itu percaya margin syarikat itu akan terus berkembang menuju FY24 dengan bayangan kos pengangkutan dan kos input yang lebih rendah yang firma itu ramalkan akan meningkatkan keuntungan bersih FY24 sebanyak 24% tahun ke tahun (YoY).

 

“Cadangan pengambilalihan 65% kepentingan dalam Inside Scoop akan menambah pendapatan FFB, yang menyasarkan untuk menceburi pasaran barangan berbungkus pengguna dengan jualan RM55 juta hingga 65 juta menjelang FY25 menerusi jenama Inside Scoop dan kemudahan pengeluaran ais krim pada masa akan datang dan segmen pengedaran produk sedia ada,” ulas firma tersebut dalam nota hari ini.

 

Sementara itu, keuntungan bersih FFB pada suku ketiga meningkat 18.9% pada RM19.4 juta namun lebih lemah daripada jangkaan firma itu, ditambah dengan kerugian RM700,000, terutamanya akibat pertukaran wang asing (forex).

 

Penyusutan pendapatan pada 3QFY23 adalah disebabkan margin dan keuntungan yang lebih rendah daripada jangkaan dalam operasi Australia kumpulan itu.

 

Ini menjadikan keuntungan bersih FFB pada sembilan bulan pertama untuk tahun kewangan 2023 (9MFY23) menyusut sebanyak 29.7% YoY kepada RM47.6 juta, di bawah anggaran firma itu pada 64.2% dan anggaran konsensus Bloomberg pada 66.4%.

 

Tambahnya, margin FFB lebih lemah dari jangkaan daripada kos input yang lebih tinggi namun kukuh disebabkan kos operasi yang rendah.

 

CGS-CIMB berkata, pendapatan 3QFY23 mendatar pada 0.02% suku ke suku (QoQ) berikutan perniagaan Australia yang meningkat kepada 11.9% QoQ mengimbangi operasi Malaysia yang lebih lemah dan susur pada 2.3% QoQ.

 

Oleh itu, firma itu mengekalkan saranan ‘pegang’ dengan merendahkan harga sasaran (TP) kepada RM1.63. -DagangNews.com